Anda di sini

RM3.5 juta baiki jalan tidak rata di Kuala Baram

Advertisement
 Lee (tengah) menunjukkan jalan yang perlu dilakukan kerja-kerja ‘miling’ semula di Miri, semalam.
DISELENGGARA: Lee (tengah) menunjukkan jalan yang perlu dilakukan kerja-kerja ‘miling’ semula di Miri, semalam.

MIRI: Kerja-kerja pembaikan jalan sepanjang 2.8 kilometer dari Jambatan ASEAN Kuala Baram ke persimpangan lampu isyarat perindustrian Kuala Baram yang bernilai RM3.5 juta sedang dilaksanakan, jelas Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin.

Katanya, kerja-kerja pembaikan semula jalan berkenaan dibuat berikutan keadaannya yang tidak rata dan berlekuk sejak dibina pada 2003, berbanding hanya kerja-kerja kecil selama ini.

“Keadaan jalan raya dari Jambatan ASEAN Kuala Baram hingga ke jalan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang tidak rata, diperbaiki segera memandangkan ini adalah pintu masuk utama para pengunjung dari negara jiran Brunei dan Sabah.

“Setakat ini, kerja-kerja yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) sehingga persimpangan lampu isyarat perindustrian Kuala Baram dalam tempoh sebulan ini,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin itu berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak terbabit bagi melihat kemajuan projek berkenaan di sini, semalam.

Jelas Lee, apabila siap projek berkenaan, ia akan melancarkan lagi aliran lalu lintas sekali gus memudahkan perjalanan para pengunjung dari Brunei dan Sabah serta warga di sini khususnya.

“Apa siap nanti, ia akan memberi kemudahan kepada pengguna dengan keadaan jalan yang lebih selesa dan melancarkan aliran lalu lintas di sini,” tambahnya.

Selain projek berkenaan katanya, kerja-kerja menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujoh turut sedang dilaksanakan.

Projek itu juga bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan aliran lalu lintas yang lebih baik yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

“Kerja-kerja menaik taraf CIQ berkenaan dijangka siap sebelum menjelang Tahun Baharu Cina dan diharapkan dengan siapnya projek berkenaan dan juga projek jalan ini nanti, ia akan menarik lebih ramai pengunjung ke Miri memandangkan jumlah kenderaan kebiasaannya direkodkan tertinggi menjelang musim perayaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement