Anda di sini

Pemuda kena tujuh bulan kerana cuba rompak kedai haiwan peliharaan

Advertisement
 Tertuduh semasa menuju ke bilik tahanan Mahkamah Kuching.
GAGAL ROMPAK: Tertuduh semasa menuju ke bilik tahanan Mahkamah Kuching.

KUCHING: Seorang penganggur muda berusia 23 tahun dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana cuba merompak kedai haiwan peliharaan.

Pada 11 November lalu, Muhammad Nur Faizie Osman masuk ke sebuah kedai menjual barangan keperluan haiwan peliharaan di Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya namun dia tidak membeli apa-apa barang ataupun produk.

Tidak lama kemudian, dia kembali ke kaunter bayaran kedai tersebut sambil membawa sebotol syampu untuk anjing.

Namun, dia dengan beraninya memberitahu juruwang bahawa dia tidak mahu membeli barang tetapi sebaliknya hanya mahukan wang yang terdapat di dalam laci.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu juga, tertuduh mengugut hendak mencederakan juruwang kedai tersebut dengan senjata yang disimpannya di dalam beg sekiranya enggan menurut kehendaknya.

Bagaimanapun, usahanya untuk mendapatkan wang daripada kedai tersebut gagal apabila terdapat pelanggan lain masuk ke kedai itu.

Tertuduh yang berasal daripada Kampung Semariang Batu itu kemudian melarikan diri dengan serta-merta dengan menunggang motosikal.

Akibat perbuatan terbabit, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar dalam hal ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan terhadap tertuduh.

“Hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 21 November lalu,” ujar Syukri ketika menjatuhkan hukum.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nelson Ensit, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement