Anda di sini

Isu abu mayat Chin Peng, tidak perlu diperbesarkan - Dr Mahathir

 
SEOUL: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan isu abu mayat Chin Peng, bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), yang dibawa pulang ke Malaysia tidak perlu diperbesarkan.

"Benda macam ini yang nak bangkitkan untuk nak puaskan hati siapa? Nak pergi kutip abu dia? Benda kecil macam ni habis nak dikorek sebab nak memburukkan kerajaan. Benda ini berlaku macam masa (zaman) Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) dulu tetapi tiada apa. Namun sekarang semua berbalik kepada PH.

“Dia (Chin Peng) sudah mati. Banyak orang yang dulu dera kita macam orang Jepun apa semua. Tetapi kita lupakan yang lama. Bukan dia boleh buat apa dah. Cuma abu dia sahaja yang balik," katanya pada sidang akhbar bersama media Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di sini pada Khamis. 

Dr Mahathir berkata kerajaan membenarkan Shamsiah Fakeh balik ke tanah air namun ia tidak pula menjadi isu.

"Kenapa? Sebab dia Melayu kot? Rashid Maidin boleh mai (datang) ke Malaysia, ada lain-lain lagi kita terima tapi Chin Peng kita tak mahu terimalah sebab dia ketua,”  jelas Dr Mahathir lagi.

Perdana Menteri pada masa sama tidak menolak kemungkinan ada pihak yang mempunyai agenda tersendiri terhadap isu berkenaan. 

“Macam mana kita nak tahu? Dia bawa abu dalam flask dan kita tak tahu...siapa yang nak tengok. Kalau tengok pun nampak abu,” katanya. 

Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

Media pada Selasa melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk ke Malaysia pada 16 Sept lepas dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 Sept lepas dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari sama.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berusia 89 tahun. - BERNAMA