Anda di sini

Hamburg ‘tempat lahir’ Airbus A321neo

Advertisement

 Pasar Krismas didirikan di pekarangan Hamburg City Hall namun belum beroperasi.
MUSIM PERAYAAN: Pasar Krismas didirikan di pekarangan Hamburg City Hall.

PERASAAN letih selepas melalui penerbangan kira-kira 14 jam dari Kuala Lumpur, hilang sebaik melangkah keluar dari Flughafen Hamburg atau lapangan terbang antarabangsa Hamburg, Jerman.

Pemandangan pokok-pokok dengan daun-daun berguguran berwarna perang dan kekuningan, dengan barisan bangunan mengekalkan seni bina lama yang dipelihara dengan baik begitu mempesonakan, meskipun kesejukan dengan suhu mencecah sembilan darjah celsius.

PEMANDANGAN SAUJANA: Berjalan menuju ke hotel Park Hyatt di kawasan Levantehaus, Hamburg

Kebanyakan bangunan di bandar raya yang kaya dengan sungai, terusan dengan jumlah jambatan terbanyak di dunia iaitu sebanyak 2,300, masih mengekalkan seni bina lama.

Bangunan pihak berkuasa tempatan, Hamburg City Hall dan gereja-gereja lama dengan menara loceng, seperti Gereja St Michael, antara bangunan ratusan tahun yang menjadi tarikan pelancong dan masih tersergam indah.

 Penulis (kanan) merakam kenangan bersama rakan media dari Malaysia
KENANGAN: Pengamal media dari Malaysia merakam kenangan bersama.

Beberapa pasar Krismas juga sudah didirikan namun belum beroperasi sehingga selepas hari Totensonntag pada 24 November, untuk memperingati orang yang meninggal dunia.

 Pemandangan dirakamkan dari jambatan Poggenmühlen menawarkan pemandangan indah gudang di tebingan sungai.
MENARIK: Pemandangan dirakamkan dari jambatan Poggenmühlen menawarkan pemandangan indah gudang di tebingan sungai.

Tapak industri Airbus

Hamburg merupakan sebuah bandar pelabuhan utama di utara Jerman, yang juga pelabuhan ketiga paling sibuk di Eropah, selepas Rotterdam dan Antwerp.

Ia juga menempatkan sebahagian besar tapak industri Airbus, daripada pusat alat ganti kepada pejabat reka bentuk, tapak pengeluaran, tapak pemasangan akhir, malah pusat latihan.

Baru-baru ini, penulis menerima pengalaman tak ternilai kerana berpeluang mengikuti AirAsia ke ibu pejabat syarikat pembuat kapal terbang itu di Finkenwerder, Hamburg untuk menerima pesawat sulung daripada 353 yang ditempah.

 Kerja-kerja mengecat pesawat A321neo yang ditempah AirAsia. — Gambar Airbus
IMEJ AIRASIA: Kerja-kerja mengecat pesawat A321neo yang ditempah AirAsia. — Gambar Airbus

Rombongan yang terdiri daripada sembilan wartawan dan pengarang dari Malaysia, selain pengamal media dari Indonesia, Filipina, Vietnam dan China serta kakitangan AirAsia, turut diberi peluang melawat tapak perindustrian itu bagi melihat sendiri pemasangan pesawat berkenaan.

Selain menjadi rumah bagi pengurusan program Keluarga A320 yang terdiri daripada pesawat A318, A319, A319neo, A320, A320neo, A321 dan A321neo selain A321LR dan A321XLR, tapak itu merupakan tempat pemasangan struktur dan kelengkapan bahagian fiuslaj serta pemasangan akhir.

Ia juga berfungsi sebagai hab logistik untuk barisan pemasangan akhir Airbus di luar Eropah di China (Tianjin) dan Amerika Syarikat (Mudah Alih).

Semua komponen pesawat utama dikumpulkan dan dihantar dari Hamburg.

 Sebahagian penggamal media dari Malaysia dan China serta kakitangan AirAsia merakam kenangan di pejabat Airbus
UNTUK ALBUM: Sebahagian pengamal media yang mengikuti lawatan AirAsia ke Airbus.

AirAsia pelanggan terbesar untuk pesawat A321neo

AirAsia akan menggantikan pesawat A320 dan A320neo sedia ada kepada A321neo yang lebih besar secara berperingkat di seluruh rangkaian AirAsia meliputi Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun.

Pertukaran itu akan membolehkan AirAsia menawarkan kapasiti yang lebih tinggi atas permintaan kukuh yang berterusan merentasi rangkaiannya.

AirAsia menjadi antara pelanggan terbesar dunia bagi A321neo yang bersaiz lebih besar dengan 353 pesawat sudah ditempah.

Ia juga merupakan pesawat A321neo pertama beroperasi di Malaysia.

 Ruang dalaman A321neo yang lebih panjang dengan tambahan 50 tempat duduk. — Gambar Airbus
LEBIH PANJANG: Ruang dalaman A321neo yang lebih panjang dengan tambahan 50 tempat duduk. — Gambar AirAsia 

Dengan 236 tempat duduk — peningkatan kapasiti sebanyak 27 peratus berbanding pesawat A320 (180 tempat duduk) dan A320neo (186 tempat duduk) — A321neo akan membolehkan AirAsia memenuhi permintaan lebih tinggi di seluruh rangkaiannya dengan kecekapan operasi ketara dan membuka peluang untuk meneroka destinasi baharu, dengan lebih 10 peratus penjimatan bahan api.

Sebagai permulaan, pesawat tersebut akan beroperasi dari hab Kuala Lumpur ke bandar-bandar di seluruh Asia, dengan destinasi pertama termasuk Kuching, Kota Kinabalu, Singapura, Bangkok dan Shenzhen.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata program tempahan A321 itu dijangka selesai dalam jangka masa enam tahun selepas tempahan 353 dibuat.

Katanya, pihaknya berbangga untuk mengalu-alukan pesawat A321neo pertama yang akan menjadi tulang belakang baharu bagi operasi masa depan Kumpulan tersebut.

“Pesawat baharu ini akan beroperasi ke laluan popular, menawarkan peluang pertumbuhan di pasaran baharu serta menambah kapasiti di pasaran sedia ada, terutama di mana terdapat kekangan pengembangan berikutan infrastruktur dan ketersediaan slot terhad,” katanya ketika berucap pada majlis menyambut pesawat A321neo dari Hamburg, Jerman di Sepang Aircraft Engineering (SAE) baru-baru ini.

 Pesawat A321neo disiram air sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). — Gambar Airbus
SIMBOLIK: Pesawat A321neo disiram air sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). — Gambar AirAsia

Dengan lebih 6.93 meter lebih panjang berbanding A320neo, pesawat baharu itu menawarkan kapasiti tambahan 50 tempat duduk, kapasiti kargo tambahan lima tan dan ciri kabin baharu.

Antara ciri kabin utamanya adalah tempat duduk dengan pemegang telefon mudah alih atau tablet, USB di setiap tempat duduk dan akan datang, Rokki WiFi menyediakan hiburan, membeli-belah dan kelajuan Internet sehingga 10 megabit sesaat.

Sementara dari segi operasi, pesawat Airbus A321neo memberi tambahan 10 minit ‘turnaround time’ (35 minit), tambahan kru kabin (lima kru), pemunggah bagasi tambahan, pesawat lebih berat dengan enjin lebih berkuasa, perubahan dalam operasi mengisi minyak jika tangki pusat tambahan (ACTs) ditambah.

Pengambilan pesawat baharu dengan 236 tempat duduk itu merupakan pelaburan AirAsia bagi mengurangkan kos yang juga akan diterjemahkan kepada tambang lebih rendah.

Kumpulan pertama menaiki pesawat sulung A321neo milik AirAsia

 Penumpang berjalan ke arah pesawat di landasan Airbus
PENERBANGAN PULANG: Penumpang berjalan ke arah pesawat di landasan Airbus

Kira-kira 46 penumpang menyertai penerbangan berlepas dari landasan Airbus yang dikendalikan oleh Kapten Mohd Noor Ezanie Yahya dan dibantu pegawai penerbangan Satia Silan Ramasamy iaitu dari Hamburg ke Turkmenistan.

Selepas sejam transit, pesawat meneruskan perjalanan ke ibu negara dikendalikan Kapten Lou Chiu Chern dibantu pegawai penerbangan Goh Yun Chun.

ARJAY
ARJAY

Salah seorang penumpang, Arjay L Balinbin dari Manila, Filipina, menyifatkan pengalaman menaiki pesawat baharu itu sebagai menakjubkan.

“Satu pengalaman baharu kerana pesawat baharu, dan saya sebelum ini pernah menaiki pesawat AirAsia dan yang ini sudah tentu lebih besar,” katanya.

Arjay berkata dengan saiz pesawat itu yang lebih besar dan luas, ia akan memberi keselesaan kepada para penumpang.

“Keupayaannya menyediakan tambahan 50 tempat duduk akan memanfaatkan lebih ramai penumpang dari Asia. Ia baik untuk syarikat,” katanya.

ANNE
ANNE

Bagi Anne Sino Cruz dari Manila, reka bentuk dalaman adalah menyegarkan, kelihatan baharu sekali gus menjadikan penerbangan lebih selesa.

“Semua benda adalah baharu, anda tidak akan letih meskipun melalui penerbangan 13 jam,” katanya.

 Farhana melihat sambil mengecas telefon pintarnya pada USB di tempat duduk penumpang.
TEKNOLOGI: Farhana melihat sambil mengecas telefon pintarnya pada USB di tempat duduk penumpang.

Manakala bagi Farhana Poniman dari Kuala Lumpur, beliau amat menyukai ciri baharu pesawat itu iaitu pemegang telefon mudah alih atau tablet, dan USB di setiap tempat duduk, membolehkan penumpang menonton filem atau siri televisyen pada peranti masing-masing.

“Ruang kaki pesawat A321neo juga lebih luas, sangat selesa untuk perjalanan jarak jauh,” katanya ringkas.

  • oleh
  • Advertisement