Anda di sini

Wan Junaidi bantah bawa balik abu Chin Peng

Advertisement
WAN JUNAIDI
WAN JUNAIDI


KUCHING: Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar membantah tindakan membawa balik abu bekas pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng seperti dilaporkan media pada Selasa.

Wan Junaidi, ketika menjadi polis yang pernah bertempur dengan komunis, berkata beliau menjadi saksi bagaimana rakan-rakan seperjuangan dan orang awam mati dibunuh komunis.

"Saya berpengalaman lima tahun dalam hutan masuk 'ambush'. Sebagai veteran polis, saya memang tak setuju langsung hendak bawa abu Chin Peng ke Malaysia. 

"Kerana itulah pendirian kerajaan terdahulu sebab alasan tertentu, telah diselidik rapi oleh kerajaan terdahulu," katanya ketika sesi perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya lagi, ketika berumur 24 tahun, beliau sudah masuk hutan bagi membanteras komunis. 

Apabila ada pihak yang cuba mengangkat komunis sebagai pejuang, beliau berasa amat sedih kerana komunis pernah memporak-perandakan negara satu ketika dahulu.

Pada 1970 di Kapit, serangan komunis terhadap anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) menyebabkan 18 askar terkorban ketika diserang di sungai. 

Manakala di Ngemah, 14 polis pengawal sempadan maut apabila diserang komunis, katanya sambil menolak kenyataan pihak tertentu yang mengatakan perjuangan komunis adalah untuk melawan tentera Jepun.

Jika benar untuk melawan tentera Jepun, mengapa mereka tidak meletakkan senjata setelah Jepun berundur dari Tanah Melayu dan Sarawak.

"Perjuangan komunis bukan untuk lawan Jepun tapi untuk jatuhkan kerajaan agar membentuk kerajaan komunis," tegasnya.

Ahli Parlimen Kapit Alexendar Nanti Linggi turut bangun mencelah dan berkata, ramai saudara maranya termasuk bapa saudaranya terkorban ketika bertempur dengan komunis.

"Mereka kehilangan nyawa, jangan sesekali nak putar belitkan fakta sejarah kita," katanya.

Portal berita melaporkan abu Chin Peng yang meninggal dunia di Thailand pada 2013, dibawa balik ke Malaysia pada 16 September tahun ini.

Abu itu ditabur ke laut dan gunung di Ipoh. Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua lahir di Sitiawan, Perak pada 1924.

Sejak Perjanjian Damai Hat Yai pada 1989, dia bermastautin di Thailand.

  • oleh
  • Advertisement