Anda di sini

Penglibatan belia dalam pertanian masih rendah

 Dr Abdul Rahman (tengah) melihat beberapa sampel pembungkusan produk di sebuah reruai di luar dewan seminar. Turut kelihatan Abang Abdul Karim (di sebelah kiri beliau) dan Sarimah.
BERKUALITI: Dr Abdul Rahman (tengah) melihat beberapa sampel pembungkusan produk di sebuah reruai di luar dewan seminar. Turut kelihatan Abang Abdul Karim (di sebelah kiri beliau) dan Sarimah.

KUCHING: Penglibatan belia di negeri ini dalam sektor pertanian masih rendah meskipun sektor itu giat dibangun dan diperkatakan ketika ini.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata setakat ini hanya 12 peratus belia terlibat dalam sektor pertanian di negeri ini.

Justeru katanya, kempen kesedaran perlu diperbanyakkan dalam usaha menarik minat penyertaan golongan itu dalam pertanian.

“Tahun depan kita (kementerian) akan mengadakan jerayawara di setiap konstituensi di seluruh negeri mengenai pertanian moden.

“Diharap para belia akan memanfaatkan program ini dan membantu menjadikan sektor pertanian sebagai sumber pendapatan lumayan serta memastikan keselamatan makanan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Revolusi Pertanian Menerusi Industri 4.0: Meningkatkan Productiviti, Laluan Kepada Kemakmuran di Pusat Produktiviti Malaysia (MPC) di sini semalam.

Menurutnya kerajaan menyediakan geran berjumlah RM10,000 hingga RM100,000 bagi membantu belia bergiat aktif dalam pertanian moden.

Selain itu katanya, terdapat modal awal disediakan untuk membangunkan usahawan tani dan usaha sama dengan sektor swasta atau syarikat utama dalam perladangan kontrak.

Mengenai usaha menyemai minat golongan muda dalam bidang pertanian, Dr Abdul Rahman berkata model amalan pertanian moden akan diperkenalkan di sekolah-sekolah.

“Kita akan memperkenalkan model-model pertanian pintar di sekolah terpilih. Ia melibatkan model antaranya sistem fertigasi.

“Ia juga akan memberi latihan kepada mereka yang berminat. Ini antara usaha kita memberi pendedahan awal pertanian moden,” katanya sambil menambah, matlamat utama kementerian ialah menyediakan kemudahan untuk generasi baharu memandangkan pertanian penting dalam ekonomi negeri.

Beliau dalam pada itu, berterima kasih kepada MPC kerana menganjurkan seminar itu seiring dengan pelan kerajaan untuk memodenkan pertanian kepada Industri 4.0 kerana kerajaan menyasarkan Sarawak menjadi pengeluar bersih produk makanan menjelang 2030.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Abdul Rahman berkata persepsi pertanian adalah sektor pekerjaan 3D (sukar, berbahaya, kotor) mesti dihapuskan.

“Penggunaan teknologi digital menerusi pertanian pintar akan meningkatkan kecekapan serta produktiviti sektor ini.

“Persepsi, pertanian adalah kerja 3D boleh dihapuskan apabila petani dan pengeluar mengguna pakai kemudahan-kemudahan moden seperti dron, sensor dan Internet untuk Segalanya (IoT) dalam melaksanakan kerja,” ujarnya.

Seminar itu dihadari 150 peserta termasuk pensyarah dan pelajar dengan tujuan menggalakkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan teknologi digital dalam pertanian bagi meningkatkan produktiviti.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah MPC Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg dan Pengarah MPC Wilayah Sarawak Sarimah Misman.