Anda di sini

Clint Eastwood kembali dengan filem baharu

Advertisement
CLINT EASTWOOD
CLINT EASTWOOD

FILEM baharu Clint Eastwood cuba memulihkan status ‘hero’ pengawal keselamatan dengan kehidupan yang dimusnahkan oleh dakwaan bahawa dia yang mengebom Olimpik Atlanta pada 1996.

‘Richard Jewell’ menceritakan tentang kisah lelaki tidak bersalah itu yang mendapati diri menjadi tumpuan satu siasatan keganasan dan keributan media yang dahsyat ekoran letupan di Sukan Musim Panas tersebut yang menyebabkan dua kematian dan mencederakan lebih 100 orang.

Bekas anggota polis itu pada mulanya disanjung sebagai wira selepas dia mengesan bom paip di Centennial Olympic Park, membantu menyelamatkan ratusan lagi daripada kecederaan, tetapi tidak lama kemudian dicam oleh wartawan sebagai seorang suspek FBI.

“Dia tidak pernah mendapat manfaat tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” kata Eastwood kepada wartawan di atas permaidani merah bagi tayangan perdana dunianya di AFI Fest di Los Angeles baru-baru ini.

Jewell “dihakimi terlebih dahulu sebelum pengetahuan sebenarnya ada”, tambah pengarah berusia 89 tahun itu.

Jewell, yang tidak pernah ditangkap atau didakwa, dilepaskan oleh FBI selepas 88 hari. Tetapi rangkaian TV yang berkampung di luar rumahnya selama itu, mengganggu Jewell dan keluarganya.

Dia menjadi topik spekulasi liar dan ejekan. Jewell kembali tinggal bersama ibunya pada pertengahan usia 30an selepas diturunkan pangkat kerana menyebabkan kereta polisnya mengalami kemalangan.

Jewell menyaman beberapa saluran berita atas tuduhan memfitnah, dengan dakwaan bahawa cerita mereka menggambarkannya sebagai seseorang dengan personaliti yang aneh dan mungkin bersalah.

Bekas pengacara ‘Tonight Show’ Jay Leno kemudian memohon maaf kerana menggelar Jewell ‘Unadoofus’, satu mainan perkataan bagi pembunuh kejam ‘Unabomber’.

“Dia tidak wajar dilayan sedemikian. Dia seorang wira yang tulen dan dia dibicara di dalam media sebelum sebarang fakta diterima,” kata Jon Hamm, yang membawa watak seorang ejen FBI, kepada AFP.

“Ia boleh berlaku lagi, dan berlaku sepanjang masa, kerana maklumat bergerak lebih cepat sekarang,” kata bintang ‘Mad Men’ itu.

Namun filem itu sendiri sudah pun mencetuskan kontroversi.

Salah satu watak utamanya adalah Kathy Scruggs, pemberita sebenar bagi akhbar Atlanta Journal-Constitution (AJC) yang menjadi orang pertama untuk menuduh Jewell sebagai suspek.

Scruggs, lakonan Olivia Wilde, digambarkan memperdagangkan seks dengan seorang ejen FBI (Hamm) sebagai balasan untuk mengetahui identiti suspek itu.

Dalam satu emel kepada AFP pada Rabu lepas, editor akhbar itu sekarang Kevin G. Riley berkata gambaran mengenai mendiang Scruggs “menyinggung perasaan dan amat meresahkan dalam era #MeToo”.

“Bukti tidak ada bahawa ini pernah berlaku,” dia menulis.

Riley turut mempertahankan sumber akhbar, dan menulis bahawa siasatan ke atas Jewell akan didedahkan dan laporan AHC kemudian membantu melepaskan Jewell daripada kesalahan.

Pesalah sebenar, Eric Rudolph, ditangkap pada 2003 seelpas siri serangan bom ke atas klinik penggugurand an sebuah kelab malam homoseksual, dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol dua tahun kemudian.

Pada 2007, Jewell meninggal dunia kerana pada usia 44 tahun.

“Ia bukan sejarah yang dipinda,” kata Paul Walter Hauser, yang membawa watak Jewell dalam filem itu. “Kita memancarkan cahaya ke atas sejarah dan kebenaran.” — AFP

Advertisement