Anda di sini

Impian BEM miliki bangunan sendiri tercapai

Advertisement
Abang Johari ditemani Uggah dan tetamu kehormat lain memukul gong sebagai simbolik pelancaran Projek Pusat Komuniti dan Rumah Ibadah BEM, Taman Desa Wira.
Abang Johari ditemani Uggah dan tetamu kehormat lain memukul gong sebagai simbolik pelancaran Projek Pusat Komuniti dan Rumah Ibadah BEM, Taman Desa Wira.

KUCHING: Kerajaan Sarawak membantu Borneo Evangelical Mission (BEM) dalam merealisasikan impian mereka untuk memiliki pusat dan tempat ibadah sendiri. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, untuk itu kerajaan negeri memberi tanah seluas 2.8 ekar di Taman Desa Wira bagi membina Pusat Komuniti dan Rumah Ibadah BEM. 

"Kerajaan negeri melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di bawah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas sedia membantu BEM untuk membina pusat ini. 

"Inilah dasar di bawah pentadbiran saya yang mana UNIFOR ini ditubuhkan dengan kerjasama badan-badan agama lain untuk memahami dan memenuhi keperluan sekali gus membantu antara satu sama lain," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Pelancaran Projek Pusat Komuniti dan Rumah Ibadah BEM, Taman Desa Wira di Pusat Konvensyen Penview (PPC), Demak di sini malam Ahad. 

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan, jika hendak maju ke hadapan, perlu ada kesatuan yang menghubungkan setiap lapisan masyarakat meskipun berbilang kaum dan agama. 

"Saya ingin menyentuh pentingnya perpaduan dan setiap agama mengajar kita untuk menjadi seorang yang baik. 

"Jika kita berpegang kepada kebaikan ini, semua orang akan mengikutinya dan mewujudkan masyarakat yang harmoni dan hormat menghormati," tambahnya. 

Menurutnya lagi, Sarawak amat beruntung kerana rakyatnya sudah lama hidup dengan mengamalkan sikap toleransi yang tinggi antara satu sama lain. 

"Kita hidup bersama, kita hormat menghormati antara satu sama lain, inilah suasana hidup yang amat baik, biarlah kita rakyat Sarawak menjadi contoh negeri perpaduan di Malaysia," ujarnya. 

Sehubungan itu, tegasnya, kerajaan Sarawak akan menggunakan kuasa Imigresen yang ada bagi menyekat individu ekstrimis daripada masuk ke negeri ini. 

"Mereka yang membuat provokasi, menghasut dan memecah belahkan rakyat, kerajaan tidak ada cara lain melainkan menggunakan kuasa imigresen untuk mencegah individu seumpama ini daripada masuk ke negeri ini," katanya. 

Menyentuh mengenai pusat itu, Abang Johari berkata, ia akan dilengkapi pelbagai kemudahan lain seperti tempat penjagaan harian warga emas, taska dan tadika, dewan pelbagai guna, bilik kelas, ruang pejabat untuk BEM dan sebagainya. 

Difahamkan, pusat dijangka siap pada 2020 tersebut akan memberi manfaat kepada ahli BEM di sekitar Kuching dan kawasan berdekatan. 

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Dougglas Uggah Embas; Pengerusi BEM Sarawak, Reverend Dato Dr. Justin Wan; dan Pengerusi penganjur, Elder Thomas Harold Jacques.

  • oleh
  • Advertisement