Anda di sini

Yayasan Sarawak kembali ke tangga kedua K-League LSC

Advertisement
 Sebahagian daripada aksi menarik perlawanan membabitkan Pantai Damai menentang Kasika CF.
SENGIT: Sebahagian daripada aksi menarik perlawanan membabitkan Pantai Damai menentang Kasika CF.

KUCHING: Skuad Yayasan Sarawak kembali melonjak ke tangga kedua saingan K-League LSC 2019 selepas membelasah Rzurf Excellent 8-0 dalam aksi minggu kelapan berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya Ahad lepas.

Penyerang berpengalaman, Mohamad Hadera Bakri paling mencuri tumpuan dengan meledak hatrik minit ke-23, 35 dan 68.

Penyumbang gol lain termasuk Amirrul Iqmal Bolhi (minit ke-10 dan 28), Amir Amri Salleh (minit ke-34 dan 41) dan Haziq Rahim Iskandar (minit ke-47).

Yayasan Sarawak kini hanya dibezakan satu mata dengan pendahulu liga, Pantai Damai selepas mengutip 18 mata daripada enam kemenangan dan sekali tewas.

Pantai Damai dengan 19 mata terus kukuh di puncak liga meskipun mencatat keputusan seri 2-2 dengan Kasika CF pada perlawanan berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya malam Ahad lepas.

Mengejar di kedudukan ketiga skuad 3 Lion Rakan Cop juga dengan 18 mata sambil Kasika CF dengan 16 mata di tangga keempat.

SSC PC di tangga kelima dengan 12 mata diekori KDFA U19 dengan sembilan mata.

Manakala KSK Satok yang menang besar membenam TSM United 6-0 menduduki tangga ketujuh.

Tangga kelapan hingga ke-11 masing-masing dihuni PJ Warriors, Rzurf Excellent, TSM United dan IMPISS FC.

Saingan akan diteruskan hujung minggu ini dengan lima lagi aksi akan berlangsung.

PJ Warriors akan menentang Rzurf Excellent di Padang D pada Sabtu ini bermula jam 2.15 petang disusuli pertembungan di antara SSC PC dan 3 Lion Rakan Cop jam 4.15 petang di venue sama.

Pada Ahad, tiga aksi berlangsung dengan Stadium Sarawak menjadi venue pertembungan di antara KSK Satok dan KDFA U19 jam 2.15 petang.

IMPISS FC menentang Yayasan Sarawak di Padang D bermula 4.15 petang manakala pendahulu liga, Pantai Damai menanti TSM United di Stadium Sarawak jam 4.15 petang.

Advertisement