Anda di sini

UiTM Sabah rangkul Anugerah Diamond

Advertisement
 Dr Imbarine, Mariam dan Ahmad Fauze memegang trofi dan sijil kemenangan disebelah aplikasi inovatif mereka.
MENANG: Dari kiri: Dr Imbarine, Mariam dan Ahmad Fauze memegang trofi dan sijil kemenangan disebelah aplikasi inovatif mereka.

KOTA KINABALU: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah telah memenangi Anugerah Diamond dalam Pertandingan Rekacipta dan Inovatif Antarabangsa (InIIC Series 2/2019) bagi kategori Pelajar Institusi Tinggi (Sains Sosial) yang diadakan di Hotel Palace of the Golden Horses, Selangor baru-baru ini.

Pasukan UiTM Sabah diwakili oleh Mariam Mahmun sebagai Ketua Kumpulan, pelajar Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan, Prof. Madya Dr. Imbarine Bujang, pensyarah kanan dan Ahmad Fauze Abdul Hamit, pensyarah di Fakulti Kewangan.

Penyertaan mereka bertajuk 'SMARTer Port Integrated Application System to Facilitate Micro-Small-Medium Enterprises' mengenai sistem aplikasi bersepadu pelabuhan yang lebih bijak untuk memudahkan perniagaan mikro-kecil-sederhana telah menarik perhatian para hakim, dengan menekankan satu penyelesaian inovatif yang direka khusus untuk mengintegrasikan platform e-dagang rentas sempadan dan ride-hailing.

Menurut Prof Dr Imbarine, sebagai penasihat pasukan, novelti inovasi mereka berkisar kepada penciptaan nilai dalam memudahkan perdagangan yang menyeluruh dalam eko-sistem rangkaian bekalan.

"Inovasi kami memperkenalkan penggunaan sistem aplikasi bersepadu di mana pelbagai sistem sedia ada diintegrasikan ke dalam satu platform," katanya.

Beliau berkata, aplikasi ini cuba menangani beberapa isu seperti masalah ketidakseimbangan kargo yang dihadapi di pelabuhan di negeri Sabah, kadar kemiskinan luar bandar dan pengangguran di Sabah serta usahawan mikro-kecil-sederhana tempatan yang kurang teratur yang memerlukan platform untuk menjual produk mereka menembusi pasaran antarabangsa.

Pertandingan tahunan ini dianjurkan oleh MNNF Network, Penerbit MNNF, Advanced Press dan Kind Heart Charity.

Bertemakan 'Ke Arah Kreativiti dan Inovasi' pertandingan itu diadakan bertujuan mendapatkan penyelesaian inovatif, efektif kos dan praktikal kepada beberapa halangan yang boleh diatasi dalam masyarakat.

Para peserta terdiri daripada golongan profesional dan pelajar yang menggunakan bakat kreativiti mereka, bertanding secara individu atau dalam pasukan untuk mengenal pasti isu-isu berkaitan, bagi membuat penyelesaian yang inovatif dan unik.

Hadiah pemenang diberikan kepada idea terbaik dalam tiga kategori, iaitu Anugerah Diamond Kategori A untuk golongan profesional di bawah Sains Sosial, Sains, Kejuruteraan dan Teknologi, Anugerah Diamond Kategori B untuk Institusi Pengajian Tinggi di bawah Sains Sosial, Sains, Kejuruteraan dan Teknologi manakala Anugerah Diamond Kategori C untuk pelajar sekolah. Setiap kategori masing-masing juga dianugerahkan Emas, Perak dan Gangsa.

Lebih kurang 200 pasukan menyertai pertandingan itu mewakili institusi pengajian tinggi dan sekolah, dari dalam dan luar negara, seperti Indonesia dan Filipina.

Advertisement