Anda di sini

Tottenham umum pemecatan Pochettino, lantik Mourinho

Advertisement
MOURINHO
MOURINHO

LONDON, England: Jose Mourinho dilantik sebagai pengurus baharu Tottenham Hotspur ekoran pemecatan Mauricio Pochettino.

Bekas pengurus Chelsea dan Manchester United itu menandatangani kontrak tiga tahun setengah di kelab di ibu kota London itu.

Pelantikan hadir kurang dari 12 jam selepas Spurs memecat Pochettino pada malam Selasa.

Mourinho, 56, berkata: “Saya teruja untuk menyertai sebuah kelab dengan warisan yang hebat dan dengan penyokong yang penuh bersemangat.

“Kualiti dalam skuad dan akademi kelab mengujakan saya. Bekerja dengan pemain ini adalah apa yang menarik perhatian saya.”

Mourinho, yang memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada dua penggal bersama Chelsea, berada di luar pengurusan bola sepak sejak meninggalkan United pada bulan Disember tahun lepas.

Pengerusi Spurs, Daniel Levy berkata: “Dalam Jose, kami telah menemui salah seorang pengurus paling berjaya dalam bola sepak. Beliau memiliki pengalaman luas, boleh membangkit inspirsai pasukan dan seorang yang pakar taktik. Beliau memenangi kejuaraan di setiap kelab yang dibimbingnya. Kami percaya beliau akan membawa tenaga dan kepercayaan dalam bilik persalinan.”

Satu kenyataan dari kelab menambah: “Jose adalah seorang pengurus paling berjaya di dunia selepas memenangi 25 kejuaraan.

“Beliau dikenali kerana taktik permainan yang hebat dan pernah membimbing kelab besar seperti FC Porto, Inter Milan, Chelsea, Real Madrid dan Manchester United.

“Beliau memenangi satu kejuaraan domestik dalam rekod empat negara berbeza - Portugal, England, Itali dan Sepanyol) dan merupakan salah seorang dari tiga jurulatih yang memenangi Liga Juara-Juara sebanyak dua kali bersama dua kelab berbeza - FC Porto pada 2004 dan Inter Milan pada 2010.” — AFP

Advertisement