Anda di sini

Tandas dah siap 10 tahun, tapi tak dapat digunakan

Advertisement
Tandas yang tidak ada air dan elektrik di Skim Penempatan Semula Skuau, Sibu.
Tandas yang tidak ada air dan elektrik di Skim Penempatan Semula Sekuau, Sibu.

SIBU: Kewujudan sebuah tandas awam bersebelahan dengan gelanggang futsal di Skim Penempatan Semula Sekuau, dekat sini menimbulkan tanda tanya orang ramai.

Difahamkan, tandas awam untuk kemudahan lelaki dan wanita itu siap dibina sejak lebih 10 tahun lalu.

Namun sehingga kini ia belum dibuka untuk kegunaan orang ramai kerana ketiadaan kemudahan bekalan air dan elektrik.

Selain itu, sebuah kemudahan taman permainan yang dibina bersebelahan dan sepatutnya dijadikan sebagai kawasan beriadah juga tidak pernah diselenggara.

Taman permainan yang dijadikan tempat menjemur pakaian.
Taman permainan yang dijadikan tempat menjemur pakaian.

Lebih mendukacitakan, apabila kemudahan taman permainan yang disediakan di situ dijadikan sebagai tempat menjemur pakaian.

Sumber dari Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) ketika ditanya mengenai perkara berkenaan memberitahu tandas awam serta taman permainan tersebut bukan di bawah bidang kuasa mereka.

Ini kerana, kedua-dua tapak kemudahan tersebut tidak pernah diserahkan kepada MDLBS untuk pemantauan dan penyelenggaraan sejak ia siap dibina.

"Kami sudah tahu kewujudan kemudahan tersebut yang sepatutnya memberi manfaat kepada penduduk Skim Penempatan Semula Sekuau. Namun, selagi ia tidak serahkan kepada MDLBS, kami tidak mempunyai kuasa untuk memantau serta menyelenggara kemudahan tersebut," katanya semasa dihubungi hari ini.

Sementara itu, antara perkara yang menimbulkan persoalan, terutamanya di kalangan penduduk Sekuau ialah, siapakah yang menyiapkan projek tersebut dan dari manakah dana diperolehi?

Mereka juga turut bertanyakan pemilik sebenar yang meluluskan pembinaan projek tersebut sekiranya ia bukan tanggungjawab MDLBS.

  • oleh
  • Advertisement