Anda di sini

Tak turun kerja rupanya dah tak bernyawa

Advertisement
 

KOTA SAMARAHAN: Seorang jurugambar yang tidak hadir kerja sejak Selasa lalu dijumpai mati di rumah sewanya di sebuah rumah pangsa di Desa Ilmu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern berkata mangsa Nazrul Hisham Sain, 36, tahun berasal dari Kampung Bukit Kuching, Selangor.

Menurutnya, mangsa yang bekerja di Bahagian Teknologi Pendidikan, Kota Samarahan ditemui rakan sekerjanya dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di bilik tidur iaitu sekitar jam 11 pagi semalam.

"Rakan sekerja mangsa beberapa kali menghubungi telefon mangsa tetapi tidak dijawab dan pintu rumahnya juga berkunci dari dalam menyebabkan mereka terpaksa memanjat masuk dengan kerjasama daripada pihak pengurusan rumah sewa tersebut.

"Setelah berjaya memasuki rumah mangsa, rakannya itu kemudian terus mencari mangsa dan menemuinya dalam keadaan tertiarap tanpa pakaian di bilik tidur," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia menerusi pemeriksaan pegawai kesihatan dari Klinik Kesihatan Kota Samarahan di lokasi kejadian.

"Rakan-rakan mangsa perasan dia semakin kurus sejak Hari Raya tahun ini dan apabila ditanya, dia memberikan alasan sedang 'diet'.

"Selain itu, beberapa hari kebelakangan ini juga rakan-rakan sekerja mangsa perasan dia kurang bertenaga dan pernah juga mengadu mengalami sakit buah pinggang," kata Lee.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati tidak ada unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa dan pemeriksaan pada mayat mangsa juga mendapati tiada kesan cedera atau pendarahan," jelas Lee lagi.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.
 

  • oleh
  • Advertisement