Anda di sini

Pergolakan PKR dikhuatiri memberi kesan kepada pentadbiran negara 

Advertisement
Abdul Rahman ketika menjawab soalan wartawan.
Abdul Rahman ketika menjawab soalan wartawan.

KUCHING: Pergolakan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikhuatiri memberi kesan tidak langsung kepada pentadbiran negara. 

Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Rahman Ismail berharap mereka dapat menyelesaikan isu ini dengan baik. 

“Secara langsung pergolakan dalam PKR ketika ini tidak ada kaitan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).  Tetapi secara tidak langsung kita risau juga sebab ini adalah menentukan pentadbiran negara. 

“Tetapi biarlah mereka menyelesaikan isu mereka dan kita harap mereka dapat menyelesaikan isu ini dengan baik,” katanya ketika ditemui pada satu majlis di sini, hari ini.

Terdahulu Dr Rahman yang juga Menteri Muda Pertanian hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) Ke-34 di hotel yang sama. 

Enggan mengulas lanjut mengenai pergolakan dalam PKR, Abdul Rahman berkata mereka akan mengikut perkembangan ini dengan teliti. 

Tetapi katanya pendirian GPS adalah tetap iaitu mesra kepada Kerajaan Persekutuan. 

“Mana-mana program yang sama-sama menguntungkan Sarawak dan persekutuan kita akan sokong. Manakala mana-mana yang melanggar hak kita, kita tidak akan sokong umpamanya hari itu kita tidak sokong pindaan perlembagaan tanpa memasukkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

“Kita bukan menolak kita berkecuali dan apabila adanya pindaan untuk menurunkan umur pengundi kepada 18 tahun kita sokong sebab itu adalah trend terkini di seluruh dunia.  Apa pun kita akan ikut perkembangan ini dengan teliti,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement