Anda di sini

Penunggang motosikal maut, tercampak tidak memakai topi keledar

Advertisement
 

SERIAN: Seorang penunggang motosikal terkorban akibat kecederaan parah dalam kemalangan di Kilometer 80 Jalan Kuching-Serian, di sini pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Lipon Nau, 49 tahun berasal dari Kampung Antayan Kropok.

Menurutnya mangsa meninggal dunia pada jam 4 petang semasa sedang menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Sekitar pukul 9.30 pagi, mangsa yang dikatakan terburu-buru keluar dari satu persimpangan dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda.

"Impak pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa tercampak dari atas motosikalnya dan dia yang tidak memakai topi keledar semasa kejadian mengalami kecederaan parah di kepala.

"Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Serian sebelum dirujuk ke HUS untuk rawatan lanjut tetapi telah disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • oleh
  • Advertisement