Anda di sini

Penguasaan minimum UPSR secara keseluruhan di Sarawak meningkat 3.36 peratus

Advertisement
Pegawai Khas Pendidikan Jabatan Agama Islam Sarawak Ustaz Malsiron Rogikin ditemani Guru Besar SK (A) Ibnu Khaldun Amir Ahmad Dewan menyampaikan slip UPSR kepada pelajar.
Pegawai Khas Pendidikan Jabatan Agama Islam Sarawak Ustaz Malsiron Rogikin ditemani Guru Besar SK (A) Ibnu Khaldun Amir Ahmad Dewan menyampaikan slip UPSR kepada pelajar.

KUCHING: Tahap penguasaan minimum secara keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 di Sarawak meningkat 3.36 peratus berbanding tahun lepas. 

Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak Dr Azhar Ahmad berkata, secara keseluruhan pada tahun ini, daripada 39, 818 calon UPSR, seramai 25, 925 calon iaitu 65.11 peratus mencapai tahap penguasaan minimum berbanding 24, 848 (61.75 peratus) pada 2018. 

"Perkara ini menunjukkan bahawa pencapaian penguasaan tahap minimum telah meningkat sebanyak 3.36 peratus untuk UPSR 2019 berbanding pencapaian pada tahun 2018," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini. 

Malah, Azhar memberitahu, seramai 19, 884 calon iaitu 66.18 peratus Sekolah Kebangsaan 2019 mencapai tahap penguasaan minimum berbanding 62.44 peratus pada 2018. 

"Untuk Sekolah Jenis Kebangsaan, seramai 6, 041 calon (61.81 peratus) mencapai tahap penguasaan minimum pada 2019 berbanding 59.65 peratus pada 2018. 

"Peningkatan pencapaian tahap minimum UPSR 2019 bagi Sekolah Kebangsaan adalah sebanyak 3.74 peratus manakala bagi Sekolah Jenis Kebangsaan adalah sebanyak 2.16 peratus," jelasnya lagi. 

Menurutnya, pada tahun ini, seramai 39, 818 calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menduduki UPSR. 

Tambah beliau, daripada jumlah itu, seramai 30, 044 (75.45 peratus) adalah calon Sekolah Kebangsaan dan seramai 9, 774 orang (24.55 peratus) adalah calon Sekolah Jenis Kebangsaan. 

UPSR telah dijalankan pada 4 hingga 5 September dan 10 hingga 12 September di 1285 buah pusat peperiksaan seluruh Sarawak.

Ujian itu menilai pencapaian murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di samping Bahasa Cina dan Bahasa Tamil bagi murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). 

UPSR berperanan sebagai check point untuk mengukur kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul selama enam tahun di sekolah rendah. 

Keputusan UPSR 2019 diumumkan di seluruh negara pada hari ini mulai jam 10.00 pagi.

  • oleh
  • Advertisement