Anda di sini

Penerbangan AirAsia ke Tokyo lengkap dengan hubungan Wi-Fi terpantas

Advertisement
 Benyamin melakukan acara pelepasan kepada tetamu penerbangan D7552 ke Tokyo dengan diberi akses pelan Internet 10MB percuma untuk dinikmati dalam pesawat A330 di Sepang semalam.
BERLEPAS: Benyamin melakukan acara pelepasan kepada tetamu penerbangan D7552 ke Tokyo dengan diberi akses pelan Internet 10MB percuma untuk dinikmati dalam pesawat A330 di Sepang semalam.

KUCHING: Penerbangan AirAsia berlepas dari Kuala Lumpur ke Tokyo Narita semalam, lengkap dengan hubungan Wi-Fi terpantas yang pertama bagi pesawat A330 bagi meraikan acara ini.  

Penerbangan empat kali seminggu akan menawarkan lebih 150,000 tempat duduk pelawat tambahan setahun menerusi Lapangan Terbang Narita, meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Olimpik Tokyo 2020.

Penerbangan sulung D7552 berlepas tepat pada 12.15 tengah malam selepas sambutan pelepasan bersama para tetamu oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail dan AirAsia Fun Team di klia2. 

Benyamin berkata, pihaknya sangat bangga kerana dapat memberi lebih banyak pilihan bagi para tetamu untuk ke Tokyo, Jepun dengan penerbangan empat kali seminggu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Narita.

“Ia melengkapkan perkhidmatan kami yang tersedia ke Haneda Tokyo. Perkhidmatan baharu ini adalah bukti terhadap komitmen bagi memperkukuh perkembangan kami di Jepun.

“Kami yakin laluan ini akan mendapat sambutan terutama bagi para tetamu kami yang meneroka Tokyo dan daerah sekitar di Tohoku.

“Setinggi penghargaan kepada lapangan terbang, pelancongan, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang merealisasikan laluan ini,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Penerbangan sulung ke Tokyo Narita ini menggunakan pesawat AirAsia A330 yang pertama dilengkapi perkhidmatan AirAsia WiFi yang membolehkan para tetamu melayari video dan berhubung serta terus mengemas kini laman media sosial mereka dari paras 35,000 kaki di awan biru.

Ahli BIG dalam penerbangan sulung ini diberi akses pelan Internet 10MB percuma. 

AirAsia menawarkan tambang termasuk semua dari RM539 bagi tempat duduk standard dan RM1499 bagi tempat duduk Premium Flatbed yang telah memenangi pelbagai anugerah bagi laluan Kuala Lumpur - Tokyo Narita.

Tambang tersedia di airasia.com atau menerusi aplikasi mudah alih AirAsia dari sekarang hingga 24 November 2019,  bagi penerbangan hingga 28 Mac 2020. 

AirAsia X adalah kumpulan syarikat penerbangan terbesar dalam sektor tambang rendah jarak jauh di Jepun, mengoperasi hampir 110 penerbangan seminggu termasuk 12 laluan antarabangsa dan domestik Jepun. 

Untuk berita terkini AirAsia, aktiviti dan promosi, ikuti AirAsia di Twitter  (twitter.com/AirAsia), Facebook (facebook.com/AirAsia) dan Instagram  (instagram.com/AirAsia).

Advertisement