Anda di sini

Maradona letak jawatan sebagai jurulatih Gimnasia

Advertisement

BUENOS AIRES, Argentina: Bekas bintang bola sepak Argentina, Diego Maradona, meletak jawatan sebagai jurulatih kelab Superliga Argentina, Gimnasia, kurang dari tiga bulan selepas menggalas tugas, menurut  pengumuman kelab Selasa lepas.

“Maradona tidak lagi menjadi jurulatih Gimnasia,” kata presiden kelab, Gabriel Pellegrino.

“Beliau berkata beliau berada di kelab untuk menambah sesuatu, bukan memecah-belah,” menurut penjelasan Pellegrino tentang keputusan pemenang Piala Dunia itu.

Laporan di Argentina mencadangkan pemergian Maradona dikaitkan dengan rombakan dalam pengurusan kelab yang terletak di La Plata, 50 kilometer dari Buenos Aires.

Maradona mengambil alih tugas sebagai jurulatih di Gimnasia pada awal bulan September apabila kelab itu berada di tangga tercorot Superliga yang mempunyai 24 pasukan.

Diangkat sebagai wira sekembalinya ke bola sepak Argentina selepas bertahun-tahun menjadi jurulatih di luar negara, beliau tidak memberikan banyak impak di La Plata.

Gimnasia hanya menang tiga dari lapan perlawanan di bawah kendaliannya, kesemua perlawanan itu di gelanggang lawan, dengan pasukannya tewas lima perlawanan, empat daripadanya di tempat sendiri.

Perlawanan terakhir beliau  ialah ketika kemenangan 3-0 ke atas pasukan di tangga kedua dari bawah liga, Aldosivi minggu lepas, yang melonjak Gimnasia ke tangga ke-22 dari 24 pasukan.

Maradona meletak jawatan sebagai jurulatih kelab divisyen dua di Mexico, Dorados pada bulan Jun atas sebab kesihatan selepas hanya sembilan bulan. — AFP

Advertisement