Anda di sini

Kerajaan negeri digesa kaji semula pemberian PSS

Advertisement
 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman Datuk Seri Panglima Hajiji Noor (kanan) bersalaman dengan ADUN Lumadan Matbali Musah sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.
MESRA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman Datuk Seri Panglima Hajiji Noor (kanan) bersalaman dengan ADUN Lumadan Matbali Musah sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri digesa mengkaji semula cadangan pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) kepada pendatang tanpa izin (PTI) pada tahun 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, rakyat negeri ini merasa bimbang dengan pelaksanaan dasar berkenaan.

Katanya, bagi rakyat dasar itu seolah-olah menggalakkan kemasukan rakyat asing ke negeri Sabah. 

"Saya berpendapat keputusan ini perlu dikaji semula. Kita mesti mempunyai satu dasar yang tegas supaya kemasukan rakyat asing ini dapat dibendung dan mereka merasa takut untuk datang dan masuk ke negeri kita secara haram.

"Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mesti mendengar pendapat rakyat dalam perkara ini, apa yang rakyat mahu ialah mereka yang masuk secara haram mesti dihantar pulang ke negara asal mereka, jika sekiranya mereka ingin bekerja di negeri kita ini, mereka mesti mempunyai dokumen yang sah yang diproses atau dikeluarkan oleh negara mereka.

"Tetapi dasar pemberian PSS ini, seolah-olah menggalakkan rakyat asing masuk secara haram ke negeri kita yang tercinta ini. Saya boleh katakan bahawa dasar ini amat membimbangkan rakyat negeri kita," katanya ketika membahas Belanjawan Negeri 2020 di Persidangan DUN Sabah, semalam.

Hajiji berpendapat mereka yang masuk secara haram mestilah dihantar balik ke negara mereka.

"Alasan susah untuk menjejaki mereka tidak boleh diterima kerana kita mempunyai pasukan keselamatan yang cekap seperti polis dan tentera dengan kerjasama ketua-ketua kampung, kapitan-kapitan Cina dan juga pihak-pihak pengurusan pemaju (kontraktor) atau pengurusan perladangan juga boleh membantu dan memberi maklumat di mana mereka ini berada atau tinggal.

"Jika mereka ingin berkerja di sini, maka mereka bolehlah masuk secara sah dengan membawa dokumen-dokumen yang telah diproses dan diperakui oleh pihak yang berwajib.

"Kita semua faham, bahawa negeri kita memerlukan tenaga pekerja yang ramai untuk membantu menjayakan pembangunan negeri kita dalam pelbagai sektor seperti tenaga kerja dalam pembangunan infrastruktur dan perladangan, tetapi kita tidak boleh melaksanakan satu dasar yang tidak disukai rakyat.

"Satu dasar seolah-olah dipaksa untuk mereka terima dan ini tentu mengganggu kesejahteraan hidup rakyat yang sentiasa dibelenggu dengan kebanjiran mereka yang masuk secara haram ke negeri kita ini," katanya.

Beliau berharap Kerajaan Negeri memberi perhatian serius kepada  isu berkenaan, kerana jika tidak ditangani dengan baik ianya boleh mencacatkan usaha kerajaan untuk memberi kesejahteraan secara total kepada rakyat.

Hajiji turut mengalu-alukan pemberian peruntukan RM5.2 billion oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah untuk belanja pembangunan pada tahun 2020, satu peruntukan yang agak besar untuk melaksanakan projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau yakin jika peruntukan itu dapat dimanfaatkan sebaiknya, sudah tentu dapat menyelesaikan sebahagian masalah-masalah pembangunan yang diperlukan oleh rakyat selama ini.

"Saya berpendapat kelulusan pemberian ini dapat direalisasikan kerana adanya perhubungan baik diantara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

"Saya berharap pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Luar Bandar, Pembaikan Sekolah-Sekolah, Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar dan lain-lain prasarana yang penting termasuk di dalam bajet RM5.2 bilion ini. Saya berharap Kerajaan Persekutuan akan menambah lagi peruntukan untuk negeri ini pada tahun hadapan," katanya.

Advertisement