Anda di sini

Kaji semula penggunaan bot pam: Hajiji

Advertisement
HAJIJI
HAJIJI

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mesti mengkaji semula penggunaan bpt pam oleh para nelayan di Sabah atas sebab keselamatan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Katanya, banyak laporan yang diterima bahawa bot pam ini menjadi kegemaran pihak pengganas dari negara jiran untuk menyusup masuk ke perairan negara ini untuk melakukan jenayah dan penculikan.

"Kita harus mengkaji penggunaan bot pam ini, saya juga turut menerima laporan ada juga nelayan-nelayan asing bukan warganegara Malaysia menggunakan bot pam ini untuk mencuri dan mengebom ikan di perairan kita.

"Mereka menggunakan bot pam semata-mata untuk memudahkan mereka melarikan diri dan menyusup di kawasan perairan cetek di paya-paya hutan bakau dan sebagainya. Dengan cara ini, agak sukar bagi pihak penguatkuasa seperti polis untuk mengesan dan menangkap mereka.

"Justeru saya berharap, atas sebab-sebab keselamatan, penggunaan bot pam oleh para nelayan mestilah dikaji semula," katanya ketika membahas Belanjawan Negeri 2020 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Hajiji yang juga Ketua Pimpinan Parti Pribumi BERSATU Malaysia (BERSATU) Sabah berkata, kejadian penggunaan bom ikan agak berleluasa berlaku di Sabah sekarang ini.

Menurutnya, ia amat membimbangkan kerana bukan sahaja bom-bom ikan ini boleh membunuh ikan-ikan sama ada kecil dan besar, tetapi juga merosakkan terumbu karang dan semua keindahan dan tumbuhan semulajadi di dasar laut perairan negeri ini.

"Kejadian pada 5 Julai 2019, dimana dua orang penyelam dari negara China dan seorang jurulatih selaman warga tempatan kita yang terbunuh di Pulau Kalapuan, Semporna menunjukkan penggunaan bom ikan ini amat berleluasa.

"Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh pihak WWF-Malaysia melalui pemasangan tujuh buah pengesan seismik di sekitar daerah Semporna saja, direkodkan sebanyak 1,195 letupan dari bulan Jun hingga bulan Disember 2018.

"Tangkapan penggunaan bom ikan dilaporkan 24 kes pada tahun 2018 dan 39 kes tangkapan bagi tahun ini. Kejadian ini amat membimbangkan.

"Oleh itu saya menggesa pihak kerajaan supaya mengambil tindakan tegas untuk membendung perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini.

"Sama-samalah kita pelihara dan selamatkan keindahan dan hidupan marin kita untuk generasi akan datang. Kita jangan gunakan cara dan budaya seperti ini untuk menangkap ikan, sebaliknya gunakanlah pukat dan kaedah lain yang dibenarkan," katanya.

Beliau mengalu-alukan usaha kerajaan memperuntukkan sebanyak RM43 juta pada tahun depan kepada Badan Keagamaan bukan Islam, sekolah-sekolah persendirian bukan Islam dan sekolah-sekolah mubaligh.

"Ini amat melegakan dan sekaligus meletakkan negeri Sabah sebagai negeri contoh dalam konteks perpaduan dan keharmonian pelbagai kaum penduduknya," katanya.

Hajiji turut meminta Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri menjelaskan mengenai pelantikan Ketua-ketua Anak Negeri, wakil-wakil Ketua Anak Negeri dan ketua-ketua kampung di kawasannya yang mana  pelantikan sesetengah penjawat ini terdiri dari satu keluarga.

Beliau mengambil contoh, abang menyandang Ketua Anak Negeri, adik Wakil Ketua Anak Negeri, bapa Ketua Kampung, anak Ketua Anak Negeri dan begitulah seterusnya yang melibatkan beberapa buah kampung.

"Saya membawa perkara ini kerana ianya menjadi rungutan rakyat khususnya di kampung-kampung yang terlibat, mereka menganggap ini merupakan amalan nepotisme," katanya.

  • oleh
  • Advertisement