Anda di sini

Hatrik Gnabry bantu Jerman ‘ratah’ Ireland Utara 6-1

Advertisement
 Gnabry (kiri) melengkapkan jaringan hatriknya apabila menjaringkan gol keempat Jerman pada perlawanan menentang Ireland Utara di Commerzbank-Arena, Frankfur kelmarin. — Gambar AFP
AKSI CEMERLANG: Gnabry (kiri) melengkapkan jaringan hatriknya apabila menjaringkan gol keempat Jerman pada perlawanan menentang Ireland Utara di Commerzbank-Arena, Frankfur kelmarin. — Gambar AFP

FRANKFURT AM MAIN, Jerman: Serge Gnabry berkata Jerman akan ke Euro 2020 dengan keyakinan tinggi selepas beliau menjaringkan hatrik ketika pasukannya membelasah Ireland Utara 6-1 untuk mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan C Selasa lepas.

Selepas menempah tempat ke Euro 2020 Sabtu lalu apabila menewaskan Belarus, kemenangan besar di Frankfurt bermakna Jerman menamatkan kempen kelayakan itu dengan kelebihan dua mata berbanding Belanda.

Belanda juga mengesahkan kelayakan mereka minggu lepas sementara Ireland Utara menamatkan saingan di tempat ketiga dan akan mempunyai satu lagi peluang memburu kelayakan menerusi perlawanan playoff.

Gnabry sudah menjaringkan 13 gol antarabangsa ketika Ireland Utara diberikan ‘pembelajaran’ tentang bagaimana melakukan penyudah sebenar.

“Kami bermain dengan sangat bagus,” kata Gnabry, yang dikeluarkan dari padang pada minit ke-80 dengan tepukan hormat dari penonton.

“Kami akan ke Euro 2020 dengan keyakinan dan keputusan perlawanan yang bagus. Pasukan ini mudah tetapi kami semua berasa gembira.”

Rakan sekelab beliau di Bayern Munich, Leon Goretzka menjaringkan dua gol sebelum Julian Brandt melengkapkan jaringan pada lewat permainan.

“Bagi kami, ini seperti pusingan pertama Euro di tempat sendiri,” kata Goretzka, dengan Jerman akan menganjurkan tiga perlawanan kumpulan Euro 2020 di Munich.

Ini adalah hatrik kedua Gnabry untuk Jerman selepas melakukannya kali pertama ketika membelasah San Marino 8-0 pada 2016.

Gnabry juga menjaringkan empat gol ketika Bayern membelasah Tottenham Hotspur 7-2 dalam aksi Liga Juara-Juara bulan lepas.

Ireland Utara bagaimanapun mencipta kejutan awal apabila membuka jaringan selepas pemain tengah Jerman, Toni Kroos, gagal mengeluarkan bola bahaya dengan kemas, membolehkan Michael Smith melakukan rembatan dari luar kotak penalti seawal minit ketujuh.

Jerman bagaimanapun bangkit segera apabila Gnabry mengikat kedudukan pada minit ke-19.

Jerman mendahului kedudukan buat kali pertama apabila Goretzka menjaringkan gol pada minit ke-42 sebelum Gnabry menjadikan kedudukan 3-1 seminit selepas rehat.

Penguasaan sepenuhnya oleh Jerman memastikan mereka menambah tiga lagi gol untuk menamatkan kempen kelayakan dengan bergaya. — AFP

Advertisement