Anda di sini

'Cream of cream' inisiatif pembelajaran sepanjang hayat

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Program 'cream of cream' akan dilaksanakan Kementerian Pelajaran dan Inovasi tahun hadapan sebagai jaminan inisiatif pembelajaran sepanjang hayat.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, program berkenaan disasarkan kepada pelajar yang berjaya mendapat keputusan 7A ke atas dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Katanya, pelajar yang terpilih akan dikumpulkan dan diberi pendedahan mengenai kursus-kursus yang bersesuaian.

"Selain itu, para penyedia dana biasiswa atau pinjaman pendidikan daripada pelbagai agensi akan dijemput untuk mengenal pasti dan seterus memberi tawaran kepada pelajar yang ingin ditaja," jelasnya dalam ucapan penggulungan.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Malaysia merancang pembinaan sebuah politeknik di kawasan seluas 12 hektar di Kampung Kesapang Kota Belud.

Bagaimanapun katanya, pada 17 Mei 2018, Kementerian Kewangan Malaysia mengeluarkan surat arahan penangguhan semua perolehan kerajaan secara tender terbuka, tender terhad dan rundingan terus bagi perolehan bekalan, perkhidmatan, perunding dan kerja yang mana surat Setuju Terima belum dikeluarkan.

"Sehubungan dengan keadaan ini, projek pembinaan Politeknik Kota Belud turut terkesan daripada keputusan penangguhan ini.

"Walaupun dengan keputusan penangguhan ini, pihak KPM berpandangan keperluan untuk menempatkan sehingga 1,000 orang pelajar lepasan SPM di Sabah tidak terjejas.

"Ia masih dapat ditampung oleh politeknik-politeknik yang lain seperti Politeknik Kota Kinabalu yang dapat menampung 4,320 pelajar, Politeknik Sandakan 1,440 pelajar dan Politeknik Tawau 540 orang pelajar," katanya.

  • oleh
  • Advertisement