Anda di sini

Calarkan kereta jiran kerana masuk campur urusan keluarga

Advertisement
 

KUCHING: Tindakan seorang wanita berusia 40 tahun yang mencalarkan kereta milik jirannya menyebabkan dia didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Pada 15 November lalu, jam 11 pagi, Fazila Sahari masuk ke halaman rumah jirannya di Petra Jaya sambil membawa sebilah gunting. 

Fazila kemudian mencalarkan bahagian bonet belakang kereta milik jirannya.

Difahamkan dia bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan wanita berusia 51 tahun itu yang sering masuk campur dalam urusan keluarganya.

Jirannya mengalami kerugian lebih kurang RM200 akibat perbuatan itu.

Kerana melakukan khianat dengan merosakkan kereta milik jirannya, Fazila didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK).

Dia mengaku bersalah apabila pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Syukri Mokhtar.

Mahkamah juga menetapkan agar dia dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nelson Ensit manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Seksyen 427 KK memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali. 

  • oleh
  • Advertisement