Anda di sini

BPHB lancarkan ‘UTAP Transformation Journey’

Advertisement
 Mohammad Medan menandatangani pelancaran ‘UTAP Transformation Journey’ BPHB.
TERBAIK: Mohammad Medan menandatangani pelancaran ‘UTAP Transformation Journey’ BPHB.

BINTULU: Dalam rangka untuk meningkatkan budaya Tadbir Urus, Pengurusan Risiko dan Pematuhan (GRC) dalam kalangan pengurusan dan kakitangannya, Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) telah melancarkan ‘UTAP Transformation Journey’.

Majlis pelancaran itu telah dihadiri 300 kakitangan BPHB termasuk dihadiri oleh Ahl-ahli Lembaga Pengarah BPHB Salihin Abang dan Dato’ Sri Mohamed Khalid Yusuf@Yusup.

Pelancaran rasminya telah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Dato Mohammad Medan Abdullah.

Mohammad Medan berkata, makna ‘UTAP’ adalah ‘perisai’ dalam dialek Vaie atau bahasa tempatan Bintulu dan projek itu diberi nama ‘UTAP’ atau ‘perisai’ kerana ia adalah simbolik yang melambangkan perisai yang digunakan oleh pahlawan tempatan untuk mempertahankan diri dari serangan musuh semasa berada di dalam pertarungan jarak dekat.

Dalam konteks ini katanya, projek UTAP itu digambarkan sebagai perisai yang mampu melindungi syarikat dari pelbagai ancaman yang boleh menjejaskan kelangsungan syarikat.

“Perisai tersebut adalah dalam bentuk tiga lapisan pertahanan yang terdiri dari barisan pertama iaitu pengurus-pengurus selaku pemilik proses kerja atau pemilik risiko.

“Barisan pertahanan kedua terdiri dari fungsi-fungsi dalam pengurusan seperti pengurusan risiko dan barisan pertahanan ketiga adalah Jabatan Audit Dalaman,” ujarnya berucap pada majlis tersebut di sini, semalam.

Beliau mengingatkan tentang keperluan untuk berubah dalam rangka meneruskan kelangsungan organisasi dan projek UTAP adalah sebuah projek berpaksikan Tadbir Urus yang baik yang menuntut perubahan sikap dan pemikiran.

Jelasnya, tadbir urus yang baik merupakan salah satu pembolehubah bagi pencapaian visi dan misi syarikat yang telah dilancarkan pada bulan Februari 2018.

Selain itu acara kemuncak majlis tersebut adalah ucaptama yang telah disampaikan oleh Salihin Abang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Risiko BPHB.

Katanya, penting bagi sesebuah syarikat untuk mencapai keseimbangan dari segi menjaga alam sekitar, tanggungjawab sosial dan mencapai keuntungan.

Menurutnya, dalam mengejar impian untuk meraih keuntungan sesebuah syarikat seharusnya tidak boleh bertindak rakus sehingga mengabaikan tanggungjawab sosial dan meninggalkan kesan pencemaran ke atas alam sekitar.

Maka dengan sebab itu katanya, tadbir urus yang baik diperlukan agar keseimbangan dapat dicapai sekali gus sesebuah syarikat itu perlu membudayakan GRC dalam amalan seharian dan tugasan.

Salihin menjelaskan makna ‘Do It Right’ yang menjadi slogan bagi UTAP Transformation Journey iaitu bermaksud agar kakitangan syarikat membudayakan amalan melakukan sesuatu dengan betul dan membetulkan sesuatu amalan yang biasa.

“Untuk merealisasikan hasrat menjadikan GRC sebagai budaya dan amalan syarikat, BPHB melantik Ernst & Young Advisory Services Sdn Bhd sebagai juruperunding untuk projek UTAP Transformation Journey tersebut,” katanya.

Pada majlis itu, seluruh kakitangan yang hadir telah membacakan ikrar integriti yang diketuai oleh Pengurus Besar Pengurusan Sumber Manusia Azmel Khan Asghar Khan untuk menyatakan komitmen memerangi dan menjauhi amalan rasuah selaras dengan anjuran Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM).

Advertisement