Anda di sini

Tahap kesihatan Iman semakin teruk

Advertisement
CHRISTINA LIEW
CHRISTINA LIEW

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata negara bakal kehilangan badak sumbu sumatera terakhir yang dikenali sebagai Iman berikutan keadaan kesihatan badak berkenaan yang semakin teruk.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah berkata tahap kesihatan Iman disahkan oleh pasukan perubatan yang diketuai Dr Zainal Zahari Zainuddin, di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin.

“Masalah ketumbuhan pada uterus Iman didapati semakin membesar, sejak ia dikesan pada Mac 2014, manakala usaha untuk membuang ketumbuhan itu juga amat berisiko tinggi.

“Berat Iman juga  menyusut kepada 476 kilogram kerana pemakanannya tidak normal dan terpaksa diberikan makanan tambahan, bagi menampung keperluan kesihatannya,” katanya pada sidang media di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau berkata situasi kesihatan badak betina itu mengingatkan kepada Puntung (Badak Sumbu Sumatera,) yang terpaksa dimatikan selepas sel kanser yang dialami semakin melarat sehingga terpaksa menanggung kesakitan berpanjangan.

Pada masa yang sama, Christina berkata kerajaan negeri akan mempercepatkan proses perundangan dengan pihak Indonesia, bagi melakukan prosedur persenyawaan in vitro (IVF).

“Ia akan membabitkan proses mengekstrak telur iman untuk disenyawakan dengan sperma badak sumbu sumatera di Indonesia.” tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement