Anda di sini

Sembilan kes kemalangan maut direkodkan di Sandakan

Advertisement
 Abdul Fuad (dua, kanan) menyempurnakan simbolik perasmian Program Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia 2019 Peringkat Negeri Sabah.
SIMBOLIK: Abdul Fuad (dua, kanan) menyempurnakan simbolik perasmian Program Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia 2019 Peringkat Negeri Sabah.

SANDAKAN: Sebanyak sembilan kes kemalangan maut direkodkan berlaku di Sandakan setakat ini berbanding 14 kes bagi tempoh yang sama pada tahun yang lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek berkata statistik itu sekaligus menunjukkan berlakunya pengurangan kes kemalangan maut yang berlaku di daerah ini.

Selain itu, katanya lain-lain kes kemalangan juga mencatatkan penurunan sebanyak 8 peratus daripada 1,725 kes bagi tempoh tahun lalu kepada 1,574 kes pada tahun ini.

Jelasnya, kebanyakan kes kemalangan maut itu melibatkan motosikal dan berlaku di jalan raya Persekutuan.

"Walaupun terdapat penurunan dari segi jumlah kes, namun ini hanya sekadar statistik. Apatah lagi sekarang sudah masuk musim cuti sekolah yang mana lebih banyak pergerakan kenderaan keluar masuk daerah selain musim hujan yang menyebabkan jalan raya licin dan basah.

"Kebanyakan kes kemalangan di daerah ini adalah disebabkan oleh faktor kecuaian tetapi keadaan jalan raya juga turut menjadi punca. Oleh itu, sentiasa fokus dan memandu dengan lebih berhati-hati.

"Kalau kita lebih fokus dan lebih bertanggungjawab ketika berada di jalan raya, kemalangan mungkin boleh dielakkan," katanya kepada media selepas mewakili Ketua Polis Daerah Sandakan bagi merasmikan Program Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia 2019 Peringkat Negeri Sabah di Stesen Minyak Petronas Batu 8, Jalan Lintas Labuk di sini semalam.

Program itu, merupakan anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Sabah dengan kerjasama Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Sabah dan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad Cawangan Sandakan.

Tema kali ini ialah 'Nyawa Tiada Galang Gantinya' atau 'Life Is Not A Carpart' merupakan tema Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia Tahun 2019 yang mana program ini diadakan di peringkat kebangsaan dan setiap negeri.

 Abdul Fuad (kiri) dan Penolong Pegawai Tadbir JKJR Sabah Zunaide Mohd Ali (kanan) memakaikan topi keledar kepada penunggang motosikal.
KESELAMATAN: Abdul Fuad (kiri) dan Penolong Pegawai Tadbir JKJR Sabah Zunaide Mohd Ali (kanan) memakaikan topi keledar kepada penunggang motosikal.

Menyedari hakikat itu, JKJR Malaysia telah mengambil pelbagai inisiatif dan pendekatan dalam menangani kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian dan cedera parah melalui program-program advokasi dan ceramah-ceramah kesedaran keselamatan jalan raya serta program My Safe Road.

Susulan daripada itu, jabatan berkenaan juga telah memberikan penegasan tentang pembudayaan pemanduan secara berhemah di jalan raya agar pengguna jalan raya memiliki kesedaran tentang betapa pentingnya menjaga nyawa diri sendiri dan orang yang tersayang serta orang lain selaku pengguna jalan raya.

Objektif utama program itu adalah untuk memberi sokongan kesedaran melalui sentuhan emosi berkenaan mangsa kemalangan jalan raya. Di samping itu, pelaksanaan aktiviti berupa khidmat nasihat seperti advokasi yang menyasarkan semua kategori pengguna jalan raya.

Program Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia itu merupakan salah satu usaha kerajaan untuk membuat advokasi serta memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya melalui aktiviti pemberian atau pengagihan bahan-bahan kempen (goodies bag) di samping memberi peringatan tentang kepentingan keselamatan jalan raya secara langsung kepada pengguna jalan raya dan ketika membuat pertukaran topi keledar kepada penunggang motosikal.

Sehubungan dengan itu, tujuan program berkenaan diadakan adalah untuk memberikan kesedaran kepada orang awam mengenai kepentingan keselamatan jalan raya yang merupakan salah satu perkara yang amat penting dan perlu diambil berat oleh semua pihak sebagai usaha sama dalam mencegah berlakunya kemalangan jalan raya khususnya di Sandakan.

  • oleh
  • Advertisement