Anda di sini

Sabah yakin dapat kelulusan secepat mungkin dari Persekutuan

Advertisement
SHAFIE APDAL
SHAFIE APDAL

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah yakin kerajaan Persekutuan akan beri kelulusan secepat mungkin berhubung permintaan penggunaan bot sedia ada bagi melancarkan proses penghantaran balik pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah ke negara asal mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, masalah kerosakan feri menyebabkan operasi penghantaran pulang PTI dari Sandakan ke Zamboanga Filipina terpaksa dihentikan.

Sehubungan itu, pihaknya meminta Kementerian Pengangkutan memberi kelonggaran buat sementara waktu untuk kerajaan negeri menggunakan bot sedia ada.

Katanya, langkah itu disebabkan, buat masa ini tiada bot bersesuaian seperti yang dikehendaki oleh peraturan yang termaktub dalam perjanjian di peringkat antarabangsa.

"Saya yakin kita akan dapat kelulusan secepat mungkin dan operasi ini dapat dijayakan supaya kita dapat hantar balik PTI ke negara asal mereka.

"Isu ini adalah salah satu bidang kuasa Kementerian Pengangkutan bagi menentukan apa jenis bot yang boleh diguna pakai untuk menghantar balik PTI ke negara asal mereka.

"Ada peraturan yang termaktub dalam jenis perkapalan bagi proses penghantaran ini kerana spesifikasi bot perlu dipenuhi bukan hanya melibatkan tujuan menghantar tetapi juga mengutamakan aspek keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Bolkiah Ismail (WARISAN-Pitas) berhubung kesan yang dihadapi kerajaan akibat pemberhentian operasi feri dari Sandakan ke Zamboanga.

Selain itu Shafie berkata, proses penghantaran PTI turut membabitkan sekali beberapa kargo yang dimuatkan oleh pihak pengendali bot kerana bot berkenaan dimiliki oleh individu bukannya kerajaan.

Menurutnya, urusan melibatkan kargo akan dipantau dan diperincikan agar kargo-kargo yang dimuatkan boleh digunakan oleh kapal lain.

"Bot sedia ada bukan sahaja untuk memuatkan penumpang bahkan juga kargo dan kita tidak mahu ada barang seludup dikhuatiri turut dibabitkan seperti dadah.

"Namun demikian, saya sudah maklumkan kalau kita tidak gunakan bot sedia ada dan perlu tunggu bot yang dikehendaki, mungkin ia mengambil masa kerana kita ada masalah kesesakan di Pusat Tahanan Sementara (PTS).

  • oleh
  • Advertisement