Anda di sini

Pendidikan kanak-kanak pelaburan jangka panjang

Advertisement
 Charlie menyampaikan sijil Tabika KEMAS kepada salah seorang peserta. Turut berada dalam gambar ialah MMuhammad Abu Bakar (kanan) dan Nor Azhar Othman (tiga dari kiri).
SERAH SIJIL: Charlie menyampaikan sijil Tabika KEMAS kepada salah seorang peserta. Turut berada dalam gambar ialah Muhammad Abu Bakar (kanan) dan Nor Azhar Othman (tiga dari kiri).

KOTA BELUD: Pendidikan kanak-kanak adalah suatu bentuk pelaburan jangka panjang bagi memastikan negara mempunyai pemimpin berkaliber pada masa hadapan, selain membentuk masyarakat yang berilmu, berintegriti dan berkualiti.

Timbalan Menteri MESTECC Isnaraissah Munirah Majilis berkata, meskipun pada hakikatnya ‘pelaburan’ itu melibatkan wang ringgit yang banyak bagi pihak kerajaan khususnya dan ibu bapa sendiri amnya, namun ia tidak merugikan malah membawa nilai yang tinggi.

Katanya, Tabika dan Taska KEMAS di seluruh negara membina asas kukuh ke dalam jiwa generasi muda sejak dahulu, malahan institusi berkenaan tetap relevan sebagai pemerkasa jati diri bagi kanak-kanak yang menyertainya dari dahulu sehingga kini.

“Masyarakat sekeliling sentiasa menilai prestasi sesebuah agensi, bagaimana ia digerakkan dan apakah hasilnya. Dalam hal Tabika KEMAS, persepsi masyarakat terhadapnya tetap berada di tahap terbaik kerana khidmatnya dalam mendidik generasi muda tidak dapat disangkal.

“Penguasaan kanak-kanak Tabika KEMAS dalam membaca, menulis, mengira dan menaakul dalam tempoh yang singkat dilihat sebagai suatu kelebihan. Justeru, tidak hairanlah jika ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka mengecapi pendidikan awal di situ,” jelasnya.

Munirah berkata demikian semasa merasmikan program Hari Apresiasi Tabika dan Taska KEMAS Kota Belud di Dewan Masyarakat Tun Said, kelmarin.

Turut hadir ialah Pegawai KEMAS Daerah Kota Belud Nor Azhar Osman dan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Sabah Muhamad Abu Bakar.

Teks ucapan Munirah disampaikan oleh Setiausaha Sulitnya Charlie Lim Fu Yung.

Dalam pada itu Munirah menegaskan bahawa kerjasama ibu bapa dalam mendidik kanak-kanak di rumah turut dituntut, kerana tanggungjawab mendidik bukan terletak semata-mata kepada guru-guru yang mengajar anak-anak mereka di Tabika KEMAS.

“Proses mendidik kanak-kanak adalah suatu perkara yang berterusan. Didikan kepada kanak-kanak ini bukan semestinya berbentuk ilmiah, mendidik kanak-kanak dengan nilai murni juga merupakan suatu sumbangan besar dalam membina jati diri mereka,” katanya.

Seramai 695 kanak-kanak daripada 689 buah Tabika dan enam Taska KEMAS menerima sijil masing-masing dalam program gilang-gemilang itu.

Advertisement