Anda di sini

Mohd Nur Firdaus sarung jersi Malaysia ke Sukan SEA Filipina

Advertisement
 (dari kiri) Farouk, Eshady, Firdaus, Fazzrudin,  Hazizulkarnaen dan Clifton bersama bendera negara dan negeri Sarawak pada sidang media di Kuching semalam.
KIBAR CABARAN NEGARA: (dari kiri) Farouk, Eshady, Firdaus, Fazzrudin, Hazizulkarnaen dan Clifton bersama bendera negara dan negeri Sarawak pada sidang media di Kuching semalam.

KUCHING:Atlet naungan Persatuan Sukan Papan Selaju Sarawak (SKA), Mohd Nur Firdaus Marzuki, 24, dari Bintulu bakal menyarungkan jersi Malaysia dalam sukan papan selaju ke Sukan SEA 2019 di Manila Disember ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazruddin Abdul Rahman merupakan Penaung Kehormat SKA berkata, beliau yakin Firdaus akan mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia dengan membawa pulang pingat kemenangan.

“SKA dengan konsisten sejak 2016 mengadakan pelbagai pertandingan dan menjadi landasan golongan belia meminati sukan itu di seluruh negeri ini dan pada masa sama mencari bakat-bakat dan potensi atlet-atlet masa depan dalam sukan papan selaju negara.

“Atlet Sarawak yang dihantar ke pertandingan sukan bertaraf antarabangsa di luar negara itu pasti menjadi idola kepada belia muda yang lain,” katanya pada sidang media SKA di Yayasan Karnaen (YK9) di sini semalam.

Menurutnya, sebagai seorang atlet segala penat, disiplin dan usaha terbayar ketika berdiri atas podium kemenangan dan mendengar lagu negeri atau negara dimainkan.

Jelasnya, perasaan itu menjadi dorongan dan semangat untuk membimbing atlet-atlet mara lebih jauh.

Menyentuh mengenai kekurangan kemudahan bagi sukan itu di negeri ini, Fazruddin berkata beliau berusaha membantu agar suara mereka didengari untuk memiliki sebuah tempat latihan bersesuaian.

Sementara itu, wakil Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Eshady Ahmad berharap SKA meneruskan usaha mencari golongan pelapis bagi sukan terbabit dalam usaha kerajaan negeri menjadikan Sarawak sebagai ‘Sport Powerhouse’.

Katanya, Firdaus akan menggantikan legenda pemain papan selaju Malaysia, Ahmad Fadzil Musa atau lebih dikenali Pa’din Musa dari Pulau Pinang suatu ketika dahulu.

Atlet pilihan SKA itu juga kini sibuk menjalani latihan dan berkata terasa sedikit gemuruh dalam dua kategori yang disertainya iaitu ‘street’ dan ‘game of skate’ namun mengimpikan dua pingat emas untuk dibawa pulang bagi negara.

Turut hadir Pengerusi SKA, Mohamad Farouk Mohammad Tufail, Setiausaha Agung SKA, Hazizulkarnaen Hassan dan Timbalannya, Clifton Dile.

Advertisement