Anda di sini

Malaysia benam Indonesia 2-0

Advertisement
Pemain pasukan Malaysia Corbin Ong Lawrence diasak oleh pemain Indonesia Otavio Dutra pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Selasa.Malaysia menang dengan jaringan 2-0 menentang Indonesia.-fotoBERNAM
Pemain pasukan Malaysia Corbin Ong Lawrence diasak oleh pemain Indonesia Otavio Dutra pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Selasa.Malaysia menang dengan jaringan 2-0 menentang Indonesia.-foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dua jaringan luar biasa Muhammad Safawi Rasid membantu Malaysia membenam seteru utamanya, Indonesia 2-0 dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Selasa

Berikutan penyerang utama, Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain pertahanan, Mathew Davies tidak boleh beraksi kerana menerima dua kad kuning, Mohamadou Sumareh diberikan tanggungjawab menggalas tugas selaku penyerang tengah, manakala Safawi dan Muhammad Akhyar Rashid masing-masing beraksi di sayap kanan dan kiri. 

Pada perlawanan yang sengit sejak sepak mula dengan kedua-dua pasukan saling melakukan serangan, skuad Garuda hampir menggegarkan Gawang Malaysia menerusi Febri Hariyadi, namun percubaan jarak jauhnya tersasar sedikit ke atas palang pada minit keenam. 

Febri kemudian mendapat satu lagi peluang apabila berhadapan situasi satu lawan satu menentang Khairulazhan Mohd Khalid pada minit ke-20, menyaksikan penjaga gol itu mengalami kecederaan ketika menyelamatkan percubaan bahaya itu. 

Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe membawa masuk Mohd Farizal Marlias untuk menggalas tugas menjaga gawang.

Malaysia akhirnya memecahkan kebuntuan menerusi sepakan percuma Safawi pada minit ke-29, yang melencong ke sudut kiri melepasi Muhammad Ridho, menggegarkan stadium dengan laungan kegembiraan penyokong tuan rumah.

Keadaan itu bagaimanapun menyebabkan segelintir penyokong Indonesia bertindak membakar suar dan penyokong kedua-dua pasukan saling membaling pelbagai objek ke arah masing-masing.

Bersambung babak kedua, pasukan ranking ke-158 dunia, Malaysia mendapat peluang untuk menggandakan jaringan, tetapi rembatan Mohamad Syamer Kutty Abba selepas menerima hantaran dari Norshahrul Idlan Talaha, tersasar ke atas pada minit ke-64, manakala rembatan Brendan Gan selang empat minit kemudian berjaya ditampan keluar oleh Muhammad Ridho.

Safawi sekali lagi menggegarkan stadium yang dihadiri 75,000 penyokong menerusi jaringan pada minit ke-72 dengan melakukan rembatan kencang dari sudut kiri palang gol yang deras melepasi Muhammad Ridho ke dalam gawang skuad Garuda Merah Putih itu.

Indonesia mendapat peluang keemasan untuk mengurangkan jurang apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Mohd Farizal menjatuhkan Febri yang berjaya melakukan larian ke dalam kotak penalti pada minit ke-82.

Bagaimanapun Mohd Farizal bertindak cemerlang untuk menyelamatkan sepakan penalti penyerang kelahiran Nigeria, Osas Marvellous di sudut kanannya.

Safawi, 22, kemudian mendapat dua peluang untuk melengkapkan hatrik, namun sepakan percumanya pada minit ke-84 dan percubaan jarak jauh dua minit kemudian tersasar sedikit.

Safawi kemudian dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu kerana menampilkan aksi memberangsangkan sepanjang perlawanan.

Kali terakhir Indonesia mencatatkan kemenangan ke atas Malaysia di Stadium Nasional adalah kemenangan 4-1 pada separuh akhir saingan Piala AFF 2005, manakala Malaysia mencatatkan kemenangan 3-0 dan 2-0 kempen Piala AFF 2010 dan 2012.

Satu lagi aksi Kumpulan G membabitkan Vietnam dan Thailand di Hanoi terikat tanpa jaringan, membolehkan Malaysia yang kini telah meraih sembilan mata selepas lima aksi dalam kempen kelayakan itu,  mengatasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Thailand untuk menduduki tempat kedua, di belakang Vietnam (11 mata).

Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata, diikuti UAE dengan enam mata daripada empat perlawanan, manakala Indonesia berada di tangga tercorot (kelima) Kumpulan G selepas gagal meraih sebarang mata dalam kelima-lima perlawanan setakat ini.

Sementara itu, sedikit kekecohan berlaku sejurus selepas perlawanan berakhir apabila ada kalangan penyokong kedua-dua pasukan membuat provokasi melampau antara satu sama lain di luar stadium.

Tinjauan Bernama di luar Stadium Nasional Bukit Jalil mendapati ada penyokong dari kedua-dua belah pihak yang saling membaling botol minuman serta kon, dan membakar mercun.

Keadaan itu berjaya diredakan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengambil tindakan pantas mengawal keadaan.

Penyokong Indonesia kemudiannya keluar dari stadium secara berperingkat dengan pengawasan polis.

  • oleh
  • Advertisement