Anda di sini

Konsert Aramaiti@RTM Sabah tarik 25,000 pengunjung

Advertisement
 Persembahan penutup konsert menampilkan semua artis yang terlibat.
PENUTUP: Persembahan penutup konsert menampilkan semua artis yang terlibat.

HUJAN lebat yang turun bukan penghalang bagi lebih 25,000 peminat membanjiri Padang Merdeka Kota Kinabalu baru-baru ini sempena Konsert Aramaiti@RTM.

Tirai konsert dibuka menerusi persembahan penyanyi ‘legend’ Sabah Francis Landong dengan lagunya ‘Aramaiti’, diikuti penyanyi dan mantan wartawan Utusan Borneo Janrywine J. Liusin yang mendendangkan ‘Macam Di KK’.

Kemunculan naib juara One In A Million 3, Esther Applunius mula memukau para pengunjung menerusi lagu ‘Syantik’. Malah, semakin ramai menghampiri pentas persembahan apabila ‘Lampa Lampa Pisang’ dikumandang oleh penyanyi lagu-lagu Bajau, Den Bisa.

Malam yang dingin semakin hangat, lagu paling popular ketika ini, ‘Odoi’ didendang Rich Estrange berjaya membuat para pengunjung bertahan dengan cuaca, diikuti dengan lagu yang dinobatkan sebagai Juara Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) 2019, ‘Keseorangan’ oleh guru Bahasa Inggeris, Santiana Ramli.

Konsert anjuran RTM itu turut menampilkan juara Gegar Vaganza Azharina Azhar yang juga pernah menggunguli Bintang RTM  membawakan lagu popularnya, ‘Elergi Sepi’ untuk mengubati kerinduan para peminatnya.

Turut didendang, dua lagu duet menerusi ‘Kosorou Kopo Nangku Doho’ oleh Esther dan Janrywine serta ‘Salah Apa Aku’ oleh Suara Emas RTM 2007 dan Juara Asean Golden Melodies Festival 2008, Reynaldo Pagie dan juara Mentor Millenia 2017 Elica Pujin yang juga bekas pelajar D’Angles Music Academy.

Paling mencuri tumpuan kumpulan penyanyi muda hip hop K-Clique, bekas pelajar SM All Saint yang membawakan lagu ‘Mimpi’, selain Yabang Khalifah dengan ‘Hang Pi Mana’ dan Eiffel Paul dengan ‘Bohemien Rhapsody’, DJ Kupi Kupi FM Velvet Aduk.  

Berbeza dengan konsep Konsert Fenomena Orkestra RTM, Konsert Aramaiti mengangkat bakat serta penyanyi-penyanyi berasal dari Sabah dan disiarkan secara langsung melalui siaran radio Sabahfm dan dirakam untuk siaran TV Okey.

Hadir sama, Pengarah Penyiaran Sabah Malinaziah Datu Mohd Julaspi, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Nor Yahati Awang dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip. — Penerangan

Advertisement