Anda di sini

Jelajah Agropreneur Muda usaha MOA dekati usahawan Sabah

 Ahli rombongan MOA yang menjayakan Program Jelajah Agropreneur Muda Sabah.
JELAJAH: Ahli rombongan MOA yang menjayakan Program Jelajah Agropreneur Muda Sabah.
 Lawatan ternakan ikan sangkar yang diusahakan Dzulhaire (kanan) di Sungai Tambalang Kampung Laya-Laya Tuaran.
IKAN: Lawatan ternakan ikan sangkar yang diusahakan Dzulhaire (kanan) di Sungai Tambalang Kampung Laya-Laya Tuaran.

PERKEMBANGAN bidang perusahaan yang dikendalikan golongan agropreneur muda di negeri ini sentiasa mendapat perhatian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Tidak disangkal lagi, ba-nyak pencapaian membanggakan agropreneur muda di Sabah yang perlu dijadikan contoh kepada golongan belia dalam mencapai kejayaan.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam membantu memajukan bidang perusahaan membabitkan pertanian, ternakan, perikanan, agropelancongan, mahupun asas tani, MOA banyak menyediakan bantuan dan peluang agar agropreneur muda mampu berkembang maju.

 Pengusaha madu kelulut Rosmiah Kantilik (dua kanan) menerima cenderahati daripada Sallehhuddin (tengah) semasa lawatan ke Taman Kelulut Eraros Kampung Kinapulidan Ranau.
KELULUT: Pengusaha madu kelulut Rosmiah Kantilik (dua kanan) menerima cenderahati daripada Sallehhuddin (tengah) semasa lawatan ke Taman Kelulut Eraros Kampung Kinapulidan Ranau.
 Pengusaha tanaman anggur dan tin Jontih Enggihon (tengah) menyediakan buah tin segar hasil tanamannya kepada rombongan jelajah.
BUAH: Pengusaha tanaman anggur dan tin Jontih Enggihon (tengah) menyediakan buah tin segar hasil tanamannya kepada rombongan jelajah.

Geran Agropreneur Muda (GAM) antara usaha yang dipergiatkan MOA melibatkan pelbagai projek perusahaan khususnya di Sabah sejak 2016 lagi.

Selain bertujuan membantu meningkatkan hasil pengeluaran yang diusahakan para agropreneur muda di negeri ini, GAM turut mampu menambah pendapatan mereka.

Sehingga Oktober tahun ini, sebanyak RM6.1 juta kelulusan GAM diberikan kepada 449 agropreneur muda di Sabah.

Bagi menyelami dan mendekati lebih ramai agropreneur muda di negeri ini, MOA pada 17 dan 18 November 2019 mengadakan Program Jelajah Agropreneur Muda Negeri Sabah melibatkan beberapa lokasi persinggahan ‘Walkabout’.

Ketua Setiausaha MOA Datuk Sallehhuddin Hassan yang mengetuai rombongan jelajah berkenaan berkesempatan mengetahui lebih dekat berhubung usaha dan keka-ngan yang dihadapi agropreneur muda yang menyertai program itu.

Beliau berkata, MOA me-nyasarkan kira-kira 1,200 usahawan muda di seluruh negara bakal menerima bantuan GAM yang diperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk 2020.

 Sallehhuddin (duduk kiri) berkesempatan bergambar bersama penduduk Kampung Tambatuon Kota Belud semasa kunjungan berkenaan.
LAWATAN: Sallehhuddin (duduk kiri) berkesempatan bergambar bersama penduduk Kampung Tambatuon Kota Belud semasa kunjungan berkenaan.
 Rombongan Program Jelajah Agropreneur Muda Sabah menerima cenderahati daripada pengusaha Jongrapevines & Figs Garden.
CENDERAHATI: Rombongan Program Jelajah Agropreneur Muda Sabah menerima cenderahati daripada pengusaha Jongrapevines & Figs Garden.

“Jelajah ini antara usaha MOA untuk berjumpa de-ngan usahawan bagi membantu mengembangkan serta mencungkil potensi masing-masing.

“Kita lihat banyak potensi besar usahawan muda di Sabah yang boleh dikembangkan di peringkat kementerian.

“Justeru, jelajah seperti ini kita jalankan dari semasa ke semasa dan kalau berkelapangan saya sendiri akan turun bertemu dengan usahawan muda di sini,” katanya kepada media sempena dengan program berkenaan.

Sallehhuddin berkata, MOA sentiasa menggalakkan lebih ramai usahawan muda Sabah yang terlibat dengan bidang berkenaan dan tahun hadapan pihaknya lebih melihat kepada teknologi dan agropelancongan.

Katanya, mana-mana usahawan yang berminat dan cukup syarat berumur 18 hingga 40 tahun, mereka digalakkan memohon dengan MOA menerusi agensi dan jabatan di bawah kementerian.

“Usahawan yang sudah bergiat dalam industri, kita ada sediakan inisiatif lain untuk menambah baik lagi perusahaan yang mereka jalankan.

“Sebagai contoh, sebelum ini kita ada sediakan GAM yang bernilai dari RM10,000 hingga RM20,000. Apabila mereka berjaya, kita akan bantu lagi untuk membuat pinjaman mudah di bawah Agro Bank.

“Tawaran pinjaman ini hanya melibatkan kadar faedah dua peratus sahaja sehingga RM200,000 untuk mereka mohon,” jelasnya.

 Deliam (lima kiri) merakamkan kenangan sempena lawatan Sallehhuddin (empat kiri) dan rombongan MOA ke kilang Mak Anna.
USAHAWAN SOS: Deliam (lima kiri) merakamkan kenangan sempena lawatan Sallehhuddin (empat kiri) dan rombongan MOA ke kilang Mak Anna.

Menurutnya, usahawan muda di negeri ini seharusnya mengambil peluang dengan tawaran pinjaman itu kerana berbanding dengan pembiayaan biasa, ia lebih memudahkan agropreneur muda.

Antara lokasi persinggahan walkabout Jelajah Agropreneur Muda Sabah termasuklah Kilang Mak Anna di Jalan Sulaman Tuaran, Projek Ternakan Ikan Sangkar di Kampung Laya-Laya Tuaran, Jongrapevines & Figs Garden di Tamparuli, Kampung Tambatuon Kota Belud, Ranau Rabbit Farm Kampung Marakau Ranau, dan Taman Kelulut Eraros Kampung Kinapulidan Ranau.

Pengusaha Kilang Mak Anna iaitu usahawan memproses sos dan sambal Deliam Zainuddin ketika ditemui berkata, perusahaan berkenaan dijalankan sejak 10 tahun lepas dan banyak dibantu oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Menurutnya yang berasal dari Kota Belud ini, kini kilangnya mempunyai dua mesin memproses sos de-ngan hasil pendapatan sekitar RM30,000 sebulan.

“Setakat ini pasaran kami hanya di Sabah sahaja dengan hasil produk kira-kira 1,000 kilogram sos cili, 500 kilogram sos tomato dan kicap setiap hari.

“Walaupun ada permintaan dari Semenanjung, tetapi kos penghantaran yang agak tinggi menyebabkan kami masih belum mampu memasarkan produk ke luar Sabah,” katanya.

 Hasil ternakan ikan yang dilawati Sallehhuddin di sungai Kampung Tambatuon Kota Belud.
TERNAKAN: Hasil ternakan ikan yang dilawati Sallehhuddin di sungai Kampung Tambatuon Kota Belud.

Bagi agropreneur muda Dzulhaire Saudin yang mengusahakan ternakan ikan sangkar, geran yang disediakan MOA banyak membantu beliau untuk mengembangkan lagi perusahaan yang dijalankan.

“Projek ternakan ikan sangkar ini mula dibuat pada 2013 dengan empat petak sahaja. Kini kami memiliki lapan petak sangkar ikan.

“Sekarang kami merancang untuk mengembangkan lagi projek ini dengan menggabungkannya bersama sektor pelancongan agar ia boleh menampung permintaan pasaran.

“Dalam sebulan, kami boleh menerima kunjungan pelancong sehingga 3,000 orang terutama pelancong dari China sebagai aktiviti yang disediakan syarikat kami,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap menerusi program jelalah itu, pihak MOA dapat melihat keperluan yang boleh membantu pihaknya untuk memajukan lagi perusahaan berkenaan.