Anda di sini

Dua juragan Indonesia ditahan cuba masuk perairan negara tanpa dokumen sah

Advertisement
 Juragan bersama ketam bakau 800 kilogram yang ditahan Maritim.
KETAM: Juragan bersama ketam bakau 800 kilogram yang ditahan Maritim.

TAWAU: Dua juragan pendatang tanpa izin (PTI) ditahan Maritim Malaysia (Zon Maritim Tawau) selepas masuk perairan negara tanpa menggunakan dokumen pengenalan diri  yang sah di dua lokasi berasingan, di sini.

Pengarah Zon Maritim Kapten Maritim Siva Kumar A/L Vengadasalam berkata, kesemua juragan dan bot jongkong terbabit ditahan semasa menjalankan rondaan dan pemeriksaan rutin di kawasan berkenaan.

Menurutnya, tangkapan pertama dibuat selepas memeriksa sebuah bot jongkong pada jam 2.35 pagi di perairan tenggara Tanjung Saima.

"Hasil pemeriksaan mendapati seorang juragan warga Indonesia berumur 57 tahun bersama ketam bakau sebanyak 800 kilogram dan tiga tong minyak petrol di dalam bot jongkong terbabit.

"Setelah diperiksa juragan terbabit tidak memiliki dokumen diri yang sah dan lesen bot juga didapati sudah tamat tempoh manakala bot jongkong  berkenaan dipercayai mahu menghantar muatan ke Tawau melalui Pulau Sebatik," katanya dalam kenyataan medianya.

Mengulas lanjut, tangkap kedua pula juga melibatkan juragan bot jongkong warga Indonesia berumur 32 tahun kerana cuba memasuki perairan Tawau melalui Pulau Sebatik menggunakan bot jongkong pada jam 2.45 pagi.

"Hasil pemeriksaan, juragan dan bot jongkong yang dibawanya tidak memiliki sebarang dokumen yang sah dan turut membawa barang kawalan tiga tong gas cecair petroleum (LPG)," katanya.

Siva berkata kedua-dua juragan terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

"Jumlah keseluruhan barang-barang yang dirampas dalam kedua-dua tangkapan dianggarkan bernilai hampir RM40,000 dan kesemua tangkapan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Tawau untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Beliau berkata Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa untuk memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi  Maritim Malaysia Tawau 089-752115 atau talian bantuan kecemasan MERS 999.

 Jurangan PTI yang ditahan cuba masuk perairan Tawau.
TANGKAPAN: Jurangan PTI yang ditahan cuba masuk perairan Tawau.
  • oleh
  • Advertisement