Anda di sini

Azis nafi laporan polis boleh periksa telefon sewenang-wenang

Advertisement
AZIS JAMMAN
AZIS JAMMAN

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman menafikan laporan bahawa pihak polis boleh memeriksa telefon orang awam dengan sewenang-wenangnya.

Beliau berkata, laporan media tersalah memetik kenyataannya di Dewan Rakyat semalam dengan meletak tajuk yang mengelirukan.

Ia seterusnya membawa kepada kekeliruan orang awam kerana segelintir masyarakat terus membuat andaian dengan hanya membaca tajuk sesebuah artikel tanpa membaca secara keseluruhan.

"Saya berkata, pemeriksaan telefon terhadap orang awam boleh dibuat sekiranya terdapat laporan polis mengesyaki ia digunakan bagi menyebarkan perkara tidak betul dan bukannya pemeriksaan dibuat secara sewang-wenangnya.

"Ia berdasarkan kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta 588 bagi memeriksa telefon bimbit seseorang semasa menjalankan siasatan dan semasa menjalankan tugas menjaga ketenteraman awam.

"Saya maksudkan polis juga boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan Seksyen 103, 104 dan 106 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593)," katanya dalam satu kenyataan kepada media, dari ibu negara kelmarin.

Azis berkata demikian sebagai menjawab bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang berkata polis tidak boleh sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit orang awam.

Musa yang dipetik sebuah portal berita kelmarn  berkata, pihak polis hanya boleh memeriksa telefon orang awam jika permintaan itu dikaitkan dengan siasatan.

"Harus ada laporan polis yang dibuat terhadap seseorang, dan mereka menyiasat orang itu, atau polis mengesyaki seseorang terlibat dalam jenayah dan sedang menyiasatnya," kata Musa seperti dilapor portal berita.

Dalam pada itu, Azis berkata apa yang diperkatakan bekas ketua polis negara itu adalah benar.

Jelas Azis, kenyataan Musa adalah selari dengan apa yang disebut olehnya ketika sesi di Dewan Rakyat semalam, namun tajuk artikel berkenaan tidak tepat dan mengelirukan.

Sementara itu, Azis berkata pemeriksaan telefon orang awam boleh dibuat jika terdapat laporan mengaitkan dengan penyebaran berita palsu, jelik, perkara yang boleh menggugat keharmonian negara serta kandungan lucah.

Dalam pada itu Azis menasihati pengamal media agar lebih teliti supaya laporan dikeluarkan tidak menimbulkan kekeliruan pada masyarakat.

"Saya nasihatkan media agar lebih berhati-hati supaya ia tidak memberi gambaran yang salah kepada masyarakat.

"Apapun saya menghargai tugas dan peranan media dalam membantu menyalurkan maklumat kepada orang awam," katanya.

  • oleh
  • Advertisement