Anda di sini

35 rumah di Kampung Bungaya musnah terbakar

Advertisement
 Api merebak dengan pantas dalam kebakaran di Kampung Bungaya, Batu Sapi.
TERBAKAR: Api merebak dengan pantas dalam kebakaran di Kampung Bungaya, Batu Sapi.

SANDAKAN: Sebanyak 35 buah rumah di perkampungan atas air Kampung Bungaya, Batu Sapi di sini musnah dalam kebakaran, awal pagi ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sandakan, Penguasa Bomba Anddre Andrew berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan jam 12.40 pagi melalui talian MERS 999 yang melibatkan kebakaran rumah perkampungan atas air itu.

Beliau berkata seramai 20 anggota yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jimmy Lagung bergegas ke lokasi kejadian dengan jarak 22 kilometer daripada balai bomba.

“Pasukan bomba menggerakkan dua buah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera tangki air, sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan empat buah kenderaan utiliti pelbagai guna ke lokasi kejadian,” katanya yang turut berada di lokasi kebakaran.

Anddre berkata kebakaran melibatkan perkampungan atas air yang mana memusnahkan 35 buah rumah jenis tidak kekal 100 peratus terbakar dengan anggaran keseluruhan kawasan terbakar adalah 1.5 ekar.

 Keadaan kawasan perkampungan Kampung Bungaya yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi..
MUSNAH: Keadaan kawasan perkampungan Kampung Bungaya yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi..

“Dalam operasi itu, seorang anggota RELA tidak sedarkan diri semasa menjalankan tugas dan diberi rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum dihantar ke Hospital Duchess Of Kent dengan menggunakan jentera EMRS untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata pihak bomba dimaklumkan bahawa laporan yang diterima menyatakan anggota RELA terbabit kini dalam keadaan stabil.

“Operasi kebakaran dapat dikawal kira-kira jam 2.35 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 5.19 pagi. Laporan diperolehi juga mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian itu,” katanya.

Anddre berkata punca kebakaran dan anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan pihaknya.

  • oleh
  • Advertisement