Anda di sini

Tadbir urus baik pupuk keyakinan pelabur: IIC

Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat penerima pelaburan perlu mematuhi amalan dan standard tadbir urus yang baik untuk terus bertahan dalam persekitaran kompetitif ketika ini, kata Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IIC).

Pengerusinya Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata tadbir urus yang baik akan memupuk keyakinan pelabur dan menggalakkan pertumbuhan pesat dalam pasaran korporat.

“Keputusan pelaburan yang diambil oleh pelabur tempatan dan antarabangsa kini dipengaruhi pada satu tahap oleh amalan tadbir urus yang baik,” katanya dalam ucap tama pembukaan beliau pada Konvensyen Tadbir Urus IIC-Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) 2019, di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata pelabur, terutamanya pelabur antarabangsa, menilai syarikat menggunakan pelbagai faktor seperti prestasi kewangan mampan dan faktor-faktor bukan kewangan seperti pelaksanaan amalan tadbir urus yang baik.

“Sehubungan itu, para pelabur institusi kini dilihat sebagai pemangkin penting bagi mempengaruhi tingkah laku pasaran dan amalan dalam syarikat penerima pelaburan mereka.

“Ini penting bagi memastikan nilai kemampanan jangka panjang bagi pelaburan mereka,” katanya.

Beliau berkata selama bertahun-tahun ini, pelabur institusi besar di Malaysia telah mengambil pelbagai langkah untuk memupuk amalan tadbir urus yang lebih baik dalam syarikat penerima pelaburan mereka.

“Pelbagai langkah ini boleh dalam pelbagai bentuk yang berbeza - daripada semata-mata melaksanakan hak mengundi hinggalah kepada melibatkan syarikat untuk mempengaruhi pengurusan dan lembaga dalam isu-isu tadbir urus penting.

“Keseluruhan penerimaan daripada pelabur institusi perlu ditingkatkan lagi bagi mencerminkan komitmen pelabur ke arah menjadi pengelola efektif dalam syarikat penerima pelaburan mereka,” katanya.

Beliau berkata IIC menyedari cabaran yang dihadapi oleh pelabur institusi dan usaha-usaha telah dibuat untuk menggerakkan agenda pengelolaan dan tadbir urus korporat.

“Sejajar dengan satu daripada keutamaan strategik bagi meningkatkan tadbir urus korporat dalam pasaran modal, IIC menjalankan aktiviti libat urus dengan syarikat senaraian awam menerusi dialog mengenai pengawasan strategi, prestasi, tadbir urus, hubungan dengan pemegang kepentingan dan pengurusan risiko,” katanya.

Mohamad Nasir berkata IIC menyasar menjalankan program libat urus dengan empat hingga lima syarikat senaraian awam setahun sebagai sebahagian daripada aktiviti yang dijadualkannya. — Bernama

Advertisement