Anda di sini

Ronaldo ledak gol antarabangsa yang ke-99 dalam kariernya

 Ronaldo (dua kanan) ketika bersaing dengan pemain Luxembourg pada perlawanan di Stadium  Josy Barthel, Luxembourg kelmarin. — Gambar AFP
DIKAWAL KETAT: Ronaldo (dua kanan) ketika bersaing dengan pemain Luxembourg pada perlawanan di Stadium Josy Barthel, Luxembourg kelmarin. — Gambar AFP

PARIS, Perancis: Cristiano Ronaldo menjaringkan gol antarabangsa yang ke-99 dalam kariernya ketika Portugal mengesahkan tempat ke Euro 2020 dengan kemenangan 2-0 di Luxembourg sementara Perancis menamatkan kempen kelayakan dengan kemenangan Ahad lepas.

Bruno Fernandes membuka jaringan buat Portugal pada minit ke-39 sebelum Ronaldo menjaringkan gol kedua pada lewat permainan untuk mengesahkan tempat kedua dari Kumpulan B, di belakang Ukraine, yang seri 2-2 dengan Serbia.

Ali Daei memiliki rekod dunia untuk gol antarabangsa terbanyak – 109 gol – dalam 149 penampilan bersama Iran di antara 1993 dan 2006.

“Semua rekod harus dipecahkan dan saya akan mengatasi rekod itu,” kata Ronaldo.

Portugal menjadi negara ke-17 yang layak ke Euro 2020, dengan penganjuran akan dilangsungkan di seluruh Eropah bermula di Rom pada 12 Jun dan menyertai pasukan lain seperti Perancis, Sepanyol, Itali dan England.

“Kita tidak dapat memberikan markah yang tinggi untuk gaya,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos, yang mengakui keadaan padang menyukarkan pasukannya.

“Saya sangat gembira dengan pemain saya kerana kempen kelayakan ini adalah lebih sukar dari apa yang dijangkakan.

“Kami melangkah ke kejohanan besar untuk kali ke-11 berturut-turut. Anda harus percaya dengan pemain ini.”

Portugal tahu mereka hanya akan layak ke Euro 2020 dengan kemenangan atau menyamai keputusan Serbia di Belgrade.

Tetapi mereka dipaksa bekerja-keras oleh pasukan Luxembourg yang berada pada ranking ke-96 dunia dan pasukan yang pernah mengikat Perancis tanpa jaringan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018.

Juara dunia, Perancis, menamatkan kempen kelayakan selaku juara Kumpulan H selepas gol Corentin Tolisso dan Antoine Griezmann memastikan kemenangan 2-0 ke atas Albania di Tirana.

“Saya sangat bergantung kepada pemain,” kata jurulatih kebangsaan Perancis, Didier Deschamps selepas perlawanan ke-100 beliau sebagai jurulatih Perancis.

“Ia kebangaan peribadi tetapi ia menarik untuk melihat apa yang dilakukan bersama oleh pemain. Ada ketikanya ia lebih sukar dengan perubahan kepada pemain, pemain yang cedera tetapi semangat juang itu ada.”

Perlawanan lain dalam kumpulan yang sama menyaksikan Turki, yang juga sudah mengesahkan kelayakan, menewaskan Andorra 2-0 sementara Iceland menewaskan Moldova 2-1.

England menamatkan kempen memberangsangkan dengan kemenangan 4-0 ke atas Kosovo menerusi gol Harry Winks, Harry Kane, Marcus Rashford dan Mason Mount untuk memastikan England akan menamatkan saingan Kumpulan A di  tangga teratas dengan 37 gol dari lapan perlawanan.

“Kami tahu masih ada banyak yang perlu dilakukan tetapi saya tidak dapat mencari kesalahan pemain musim ini, mereka bermain dengan cukup bagus. Kami lebih menyesuaikan diri sebagai sebuah pasukan sekarang,” kata jurulatih England, Gareth Southgate.

Turut mengesahkan kelayakan dari Kumpulan A ialah Republik Czech walaupun tewas 0-1 di Bulgaria. — AFP