Anda di sini

PRN12 antara fokus utama polis Sarawak

Advertisement
 Zamri pada sidang media di IPK Sarawak semalam.
PERSIAPAN AWAL: Zamri pada sidang media di IPK Sarawak semalam.

KUCHING: Polis Sarawak ambil langkah awal dengan mempersiapkan semua warganya bagi memastikan perjalanan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang dijangka diadakan pada 2021 nanti berjalan lancar.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Zamri Yahya berkata, ia adalah antara fokus utama yang diberikan kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak baharu Datuk Ramli Din agar tiada insiden tidak diingini berlaku.

“Fokus beliau selepas ini adalah PRN12 yang mungkin diadakan pada 2021 untuk buat persiapan sewajarnya agar jentera PDRM di negeri ini dapat memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Mungkin beliau akan lakukan sesuatu yang teratur untuk pastikan proses PRN12 dapat dijalankan dengan aman dan tenteram tanpa ada gangguan yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak Baharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini semalam.

Pada majlis itu, Ramli yang merupakan bekas Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu menggantikan Datuk Azman Yusof yang menggantikan tempat beliau di Bukit Aman.

Selain PRN12, Zamri berkata perkara lain yang diberi keutamaan ialah isu keselamatan sempadan di negeri ini ekoran pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan.

Jelasnya, perancangan langkah awal perlu diambil bagi memastikan keselamatan negeri ini sentiasa terpelihara daripada pelbagai kesan berikutan pemindahan ibu kota negara tersebut.

“Pemindahan pusat pentadbiran Indonesia ke Kalimantan ini mungkin akan memberi kesan positif dan negatif kepada Sarawak seperti aktiviti pergerakan warga dari negara jiran ke sini termasuk aktiviti penyeludupan di pintu-pintu masuk sempadan.

“Dan untuk itu, saya berharap Pesuruhjaya Polis Sarawak baharu dapat merancang dan membincangkan dengan unit keselamatan dan penguatkuasaan negeri serta kerajaan negeri untuk mengadakan langkah awalan persiapan bagi perkara ini,” tegasnya.

Malah, beliau berkata PDRM berkemungkinan akan menambah jumlah kekuatannya terutama di pintu masuk sempadan di negeri ini bagi memperkasakan keselamatan dan keamanan rakyat di sini.

Sementara itu, Ramli pada sidang media berkata beliau bersedia memikul tanggungjawab tersebut bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman rakyat Sarawak sentiasa terpelihara.

“Keselamatan Sarawak yang begitu terkawal dan aman damai di bawah Datuk Azman sebelum ini akan saya teruskan sepanjang berkhidmat di negeri ini.

“Apa yang ditekankan adalah selari dengan hasrat pucuk pimpinan PDRM dan antara fokus yang saya akan berikan adalah tentang penyampaian perkhidmatan dan integriti, di samping itu juga berkaitan PRN12 Sarawak yang akan datang termasuk tentang pusat pentadbiran Indoensia yang akan dipindahkan ke Kalimantan,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut akan memastikan kes berkaitan dadah di negeri ini dapat ditangani dengan berkesan selain memelihara khazanah berharga yang terdapat di Sarawak.

Sementara itu, Azman berkata jenayah kekerasan didapati meningkat di Sarawak bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober tahun ini kepada 713 kes berbanding 687 kes pada tempoh sama tahun lepas.

“Kategori kes jenayah yang meningkat adalah kes samun berkawan bersenjata api yang bertambah dua kes, bunuh (bertambah tiga kes), rogol (bertambah sembilan kes) dan kes samun tanpa senjata (bertambah 31 kes),” katanya.

Dedahnya, keadaan jenayah di Sarawak secara umumnya terkawal iaitu sebanyak 4,834 kes jenayah dilaporkan bermula 1 Januari hingga 31 Oktober 2019 berbanding 4,776 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Perbandingan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 59 kes bersamaan dengan 1.24 peratus,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement