Anda di sini

Polis sempadan Israel sasar wartawan

Advertisement
 Mays (tengah), anak perempuan Amarneh, menyertai demonstrasi mengecam benteng pemisah kontroversi rejim Israel di Baitulaham, wilayah terjajah Tebing Barat kelmarin. — Gambar AFP
LANTANG: Mays (tengah), anak perempuan Amarneh, menyertai demonstrasi mengecam benteng pemisah kontroversi rejim Israel di Baitulaham, wilayah terjajah Tebing Barat kelmarin. — Gambar AFP

BAITULMAQDIS: ‘Mata kebenaran tidak akan pernah ditutupi’, tertulis pada poster penunjuk perasaan, ketika beberapa wartawan Palestin memakai penutup mata kelmarin bagi mengutuk tindakan mencederakan seorang rakan setugas di Tebing Barat yang ditakluki.

Muath Amarneh telah berada di sebuah hospital Israel sejak beliau terkena tembakan di mata pada Jumaat lepas semasa perbalahan di antara polis sempadan Israel dan penunjuk perasaan Palestin di perkampungan Surif, berhampiran dengan Hebron di selatan Tebing Barat.

Beberapa wartawan Palestin melakukan rali kelmarin, membantah dengan sebelah mata ditutup sebagai tanda solidariti di Baitulmaqdis, menyatakan beliau berada tidak jauh dari penunjuk perasaan ketika terkena tembakan yang dilepaskan anggota tentera Israel.

“Selepas pertempuran bermula, saya sedang berdiri di tepi dengan memakai sepasang jaket kalis peluru dengan tanda media dan topi keselamatan,” jurukamera berita itu memberitahu AFP kelmarin.

“Tiba-tiba saya merasakan sesuatu yang mengenai mata saya, saya fikir ia adalah sebutir peluru getah atau sebiji batu.

“Saya meletakkan tangan pada mata saya dan tidak menemui apa-apa.”

“Saya tidak dapat melihat dan mata saya sudah hilang sepenuhnya,” katanya lanjut.

Amarneh yang bekerja untuk sebuah agensi berita tempatan, menyatakan doktor di hospital memberitahu, satu serpihan besi kira-kira 2 sentimeter panjang menusuk matanya hingga hampir terkena bahagian otak.

Sepupunya Tareq yang menemani beliau di hospital, menyatakan para doktor merancang untuk mengeluarkan besi tersebut namun mengubah fikiran mereka selepas mendapati bahawa mereka akan turut merosakkan mata kanan atau berisiko menyebabkan pendarahan di bahagian otak.

Jurucakap polis Israel menafikan jurugambar itu disasari, menyatakan tembakan tidak ditujukan langsung ke arah beliau.

“Pasukan keselamatan  beroperasi di kawasan di depan ramai perusuh, sebahagian daripada mereka memakai topeng, yang melontar batu ke arah anggota polis dan membakar tayar,” jurucakap polis Micky Rosenfeld berkata.

“Respons oleh pihak berkuasa adalah menggunakan cara yang bukan berbahaya bertujuan untuk meleraikan perusuh.”

Amarneh, yang datang dari kem pelarian Dheisheh berhampiran Bethlehem, mendakwa beliau telah disasarkan sebagai seorang wartawan.

“Terdapat satu keadaan yang luar biasa dan jahat menyasarkan wartawan,” menurut ayah kepada dua anak itu.

Sejak insiden tersebut para wartawan Palestin telah melancarkan kempen bantahan di beberapa bandar di Tebing Barat.

Di Baitulaham kelmarin, pihak polis sempadan meleraikan mogok wartawan di pos pemeriksaan di utara bandar, menurut seorang wartawan AFP.

Penunjuk perasaan memakai penutup mata dan memegang poster.

Kanister gas pemedih mata telah dilepaskan oleh polis sempadan, menurut wartawan.

Tujuh orang mengalami kecederaan ringan, menurut kepada pegawai kesihatan Palestin.

Di bandar Tulkarem, kira-kira 250 wartawan mengambil bahagian dalam satu rali untuk menunjukkan solidariti, menurut kepada wartawan yang hadir.

Sebuah video dan gambar Amarneh segera disebarkan selepas kecederaan beliau, dengan para wartawan cuba untuk membawa beliau dalam keadaan darah mengalir dari mata kirinya.

Sindiket Wartawan Palestinian menyatakan 60 wartawan telah ditembak dengan peluru hidup pada tahun ini, majoriti di Gaza, sebuah wilayah di mana bantahan mingguan kejam di sepanjang sempadan sering menyaksikan ramai penunjuk perasaan mengalami kecederaan. — AFP

Advertisement