Anda di sini

Pemburu haram diburu

Advertisement
 Mastor menyemat lencana kepada salah seorang anggota Tiger Platoon Briged Sarawak PGA yang menamatkan latihan semalam. Turut kelihatan Khaw. — Gambar Chimon Upon
TAMAT KURSUS: Mastor menyemat lencana kepada salah seorang anggota Tiger Platoon Briged Sarawak PGA yang menamatkan latihan semalam. Turut kelihatan Khaw. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak akan melancarkan Operasi Bersepadu Khazanah bagi menumpaskan pemburu haram flora dan fauna di negeri ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PGA PRDM Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, operasi ini telah dilancarkan di Semenanjung Malaysia, September lalu.

“Kita percaya sekarang ini ramai pemburu haram dalam negara yang menjadikan sumber khazanah ini sebagai sumber pendapatan mereka tanpa menghiraukan kemusnahan yang dilakukan oleh mereka.

“Jadi unit elit ‘Tiger Platoon’ PGA akan digamblengkan ke seluruh Sarawak untuk memburu pemburu haram ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian penutupan Kursus Asas CIW dan CQB Tiger Platoon Briged Sarawak PGA Tahun 2019 di Dataran Kawad Briged Sarawak PGA Batu Kawa di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Mastor berkata penjawatan bagi penembak tepat Tiger Platoon telah diluluskan di setiap stesen.

Dengan kelulusan ini katanya, setiap stesen akan diperuntukkan dua laras senapang sniper dengan perolehannya akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) nanti termasuk peralatan dan kenderaan lain.

Berhubung keanggotaan PGA pula, Mastor berkata tiada penambahan keanggotaan akan dibuat meskipun tanggungjawab PGA diperluaskan.

Keanggotaan sedia ada PGA katanya, adalah mencukupi untuk mengekang sebarang kegiatan atau insiden yang menggugat ketenteraman.

Terdahulu Mastor menyampaikan sijil tamat kursus dan penyematan lencana Tiger Platoon kepada tiga pegawai dan 60 pelatih asas yang menamatkan latihan.

Kesemua pegawai dan pelatih menjalani kursus selama tiga bulan iaitu taktik dan teknik peperangan khas hutan (CIW) dan tempur jarak dekat (CQB).

Pasukan Tiger Platoon merupakan pasukan bertindak pertama (First Responder) apabila berlaku sebarang insiden ketenteraman di Sarawak dan pasukan ‘stand by’ kedua jika berlaku ketegangan di Sabah.

Turut hadir pada majlis penutupan kursus semalam, Komander Briged PGA Sarawak Datuk Khaw Kok Chin serta pegawai-pegawai lain.

  • oleh
  • Advertisement