Anda di sini

Pelan strategik disediakan tangani isu kahwin bawah umur- Wan Azizah

Advertisement
 
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail -Gambar Fail BERNAMA
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail -Gambar Fail BERNAMA
KUALA LUMPUR:  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)  dalam peringkat akhir menyiapkan draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pelan tersebut mengandungi program tindakan melibatkan 61 agensi di peringkat Kerajaaan Persekutuan serta negeri dan dijangka akan dibentangkan dalam memorandum jemaah Menteri hujung tahun ini.

“Kerajaan telah mengambil beberapa langkah dalam usaha untuk mengekang perkahwinan bawah umur iaitu melalui perundangan dan mengenal pasti punca-punca berlakunya perkahwinan bawah umur.

“Undang-undang keluarga Islam, termasuk hukum syarak, perkahwinan dan adat negeri, adalah terletak di bawah bidang kuasa Negeri dalam jadual Kesembilan, Bahagian Dua - Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) tentang usaha kerajaan menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.

Dr Wan Azizah menjelaskan, beberapa sesi libat urus juga telah dijalankan bagi menyeragamkan umur minimum kepada 18 tahun dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri, Undang-Undang Adat dan Enakmen Mahkamah Anak Negeri dan lain-lain bentuk tatacara, kaedah-kaedah dan garis panduan.

“Hasil daripada sesi libat urus tersebut, satu draf pindaan Akta UndangUndang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) sedang disediakan untuk meminda umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi perempuan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Draf pindaan sedang dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, JAKIM,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah memaklumkan setakat ini, hanya lima negeri yang telah bersetuju untuk meminda Enakmen atau Ordinan Undang-undang dan had umur minimum perkahwinan.

Negeri tersebut adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak, manakala Selangor telah meminda enakmen itu dan Wilayah Persekutuan sedang dalam proses pindaan.

  • oleh
  • Advertisement