Anda di sini

LPR agensi menguntungkan dengan sifar hutang: Masing

Advertisement
 Lim (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Masing sambil disaksikan Safri pada Majlis Makan Malam Tahunan LPR di Sibu, kelmarin.
TANDA INGATAN: Lim (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Masing sambil disaksikan Safri pada Majlis Makan Malam Tahunan LPR di Sibu, kelmarin.

SIBU: Lembaga Pelabuhan Rajang (LPR) merupakan sebuah agensi yang memberi keuntungan serta manfaat besar dengan sifar hutang.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, LPR juga mempunyai rizab yang besar di mana ia telah berkembang dan makmur dalam berkhidmat kepada komuniti perniagaan di rantau ini.

“LPR adalah satu-satunya pelabuhan yang terletak di tebing sungai di negeri ini yang menyediakan laluan terpenting dan perkhidmatan di pelabuhan sejak sekian lama.

“Justeru, kerja keras warga LPR amat kita hargai kerana turut memberi kesan kepada pendapatan ekonomi negeri kita dalam menarik lebih banyak perniagaan global,” katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Tahunan LPR di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.

Hadir sama ialah isterinya Puan Sri Corrine Masing, Setiausaha Tetap Kementerian Insfrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datu Safri Zainuddin, Pengurus Besar LPR Datin Helen Lim, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting serta tetamu jemputan lain.

Masing yang juga Menteri Insfrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, LPR yang sudah berusia 50 tahun merupakan sebuah pelabuhan yang mantap dengan perkhidmatan yang cemerlang.

Menurutnya, pelabuhan itu turut dibangunkan berdasarkan keperluan dan sebagainya.

“Kami di kementerian akan sentiasa membangunkan setiap pelabuhan dengan pelbagai kemudahan di pelabuhan termasuk mesinnya sentiasa dinaik taraf.

“Ini bagi memastikan setiap pelabuhan di bawah kerajaan negeri menyediakan perkhidmatan terbaik dalam usaha menarik lebih banyak perdagangan global ke Sarawak,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh itu lagi.

Beliau berkata, dunia yang berdaya saing ketika ini memerlukan pelabuhan yang membangun kerana ia adalah pemangkin kepada aktiviti perdagangan dan ekonomi di mana-mana negara di dunia ini.

Jelasnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut membayangkan tentang kepentingan pelabuhan kepada sumber negeri, seterusnya mampu memberi impak tinggi kepada industri perniagaan di negeri ini.

Justeru, Masing berkata pada pembentangan Belanjawan Negeri 2020, Abang Johari telah bercadang melaksanakan tiga projek utama bernilai RM78.5 juta untuk memperbaiki pembangunan pelabuhan.

“Ini termasuk RM8 juta untuk kajian pelan induk pelabuhan laut dalam di Tanjung Po, RM30.5 juta bagi sistem pengurusan lalu lintas kapal di Pelabuhan Kuching untuk meningkatkan keselamatan dan RM40 juta lagi untuk mempertingkatkan pengemudian selamat saluran akses ke arah Pelabuhan Tanjung Manis dan LPR,” katanya.

Sementara itu, Masing turut menyeru kerajaan persekutuan mengkaji semula Dasar Kabotaj yang masih belum terbukti berkesan di negeri ini walaupun dasar itu bertujuan menurunkan harga barang di Sarawak dan Sabah.

“Kerajaan persekutuan perlu mengkaji pelaksanaannya dan menjalankan kajian yang mendalam terhadap kesannya untuk mengelak kerosakan kekal kepada industri perkapalan dan pembinaan kapal tempatan kita.

“Ini kerana penyertaan asing dalam pengangkutan konsolidasi kapal kargo laut tempatan dijangka akan meningkat,” tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement