Anda di sini

Lapan perkara dipersetujui Kerajaan Persekutuan dan Sabah berhubung MA63

Advertisement
SHAFIE
SHAFIE

KOTA KINABALU: Terdapat lapan perkara daripada 21 tuntutan dipersetujui bersama diantara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (PEMANDU) Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Bilangan 4 tahun 2019 yang telah diadakan pada 18 November baru-baru ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, antara perkara itu adalah Duti Eksport Balak dan Hasil Hutan.

"Isu ini digugurkan daripada semakan kerana telah selesai di bawah Jawatankuasa Devolution of Authority pada tahun 2016. Penyerahan kuasa telah diberikan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Sabah pada 1 Jun 2017 dan Sabah telah ada undang-undangnya sendiri iaitu Enakmen Hutan (Kayu) 2015 yang telah berkuat kuasa pada 1 Jun 2017.

"Perkara kedua ialah Pengedaran Gas Dan Kuasa Kawal Selia Elektrik Dan Pengedaran Gas. Mesyuarat telah setuju pelaksanaan due diligence berdasarkan kepada Keputusan Jemaah Menteri pada 6 April 2018 berhubung penyerahan kuasa kawal selia gas dan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan Datuk Dr Jeffery G Kitingan di persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 di sini.

Beliau berkata, pada masa yang sama Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah telah menyediakan tiga Draf Rang Undang-Undang berkaitan dengan elektrik dan gas bagi menyambut pengembalian kuasa kepada Negeri Sabah.

Katanya, Rang Undang-Undang berkenaan dijangka akan dibentangkan pada Dewan Undangan yang pertama tahun 2020.

"Antara perkara lain yang dipersetujui termasuklah Kerja Raya Persekutuan dan Negeri. Mesyuarat setuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pemantapan Kolaborasi Pelaksanaan Projek Persekutuan di Sabah dan Sarawak bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan projek.

"Tenaga Buruh, mesyuarat setuju secara prinsip berhubung penurunan kuasa kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi membuat perundangan subsidiari mengenai 'labour conditions peculiar to the state' di bawah Ordinan Buruh Negeri masing-masing.

"Kuasa Negeri Ke Atas Isu Kesihatan, mesyuarat setuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Libat Urus diantara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak untuk membincangkan perkara berkaitan isu pengurusan kesihatan Negeri Sabah dan Sarawak secara berkala.

"Kuasa Negeri Sabah Ke Atas Pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, mesyuarat setuju penyerahan kuasa urus tadbir ke atas kedua-dua pulau tersebut kepada Kerajaan Negeri Sabah. Bagaimanapun, isu keselamatan masih dibawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

"Isu Pertanian dan Perhutanan, mesyuarat setuju bahawa isu ini telah selesai kerana perkara mengenai perhutanan dan pertanian jelas dan sememangnya berada dibawah Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan.

"Obligasi Kewangan Persekutuan Di Bawah Senarai Bersama, mesyuarat setuju isu ini dibawa ke Majlis Kewangan Negara. Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak perlu menyediakan Kertas Pertimbangan untuk dibawa ke mesyuarat Majlis Kewangan yang akan datang," katanya.

Sementara itu katanya, terdapat sembilan perkara yang masih dalam perbincangan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Menurutnya, antara perkara itu adalah Semakan Semula Pemberian Khas. Kementerian Kewangan masih meneliti perkara ini dan memberi komitmen untuk menyelesaikan isu 'financial review' dan mengeluarkan 'financial order' bagi tahun 2020 hingga 2024.

"Royalti Minyak dan Pembayaran Tunai Petroleum. Forum Berasingan yang dipengerusikan oleh  Menteri Hal Ehwal Ekonomi bersama Ketua Menteri Sabah atau Sarawak telah meminta agar PETRONAS bersama Kerajaan Negeri Sabah atau Sarawak mencadangkan pendekatan Model Perniagaan Terbaik bagi memenuhi keperluan serta menjaga kepentingan ketiga-tiga pihak.

"Perdana Menteri semasa mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 pada 23 Julai 2019 memutuskan agar perkara ini dibincangkan oleh beliau bersama Ketua Menteri Sabah dan Ketua Menteri Sarawak sahaja.

"Isu ini akan dibincangkan bersama isu-isu berkaitan iaitu mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) dan hak negeri ke atas Pelantar Benua pada mesyuarat yang dijangka akan diadakan pada bulan Disember 2019.

"Jawatankuasa Teknikal MA63 telah mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan (melalui PETRONAS), Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak menyediakan input kepada ketiga-tiga pemimpin untuk tujuan perbincangan itu," katanya.

Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata, antara perkara lain yang masih dibincangkan adalah Tanah diberi Hak Milik kepada Persekutuan.

Katanya, memorandum Jemaah Menteri sedang disediakan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian untuk mendapatkan keputusan mengenai pelepasan tanah Persekutuan di negeri Sabah dan Sarawak.

"Penangkapan Ikan dan Perikanan Laut dan Muara, Perkara 112(1) Perlembagaan Persekutuan (Pertambahan Perjawatan), Kuasa Baki Perundangan Negeri Ke Atas Perkara Berkaitan Pelancongan dan Alam Sekitar.

"Penurunan Kuasa Mahkamah Sabah dan Sarawak, pentadbiran Kehakiman Berkaitan Sabah dan Sarawak (Bidang kuasa Hakim Besar Mahkamah Tinggi, Autonomi Pentadbiran Mahkamah Negeri Sabah dan Sarawak serta Pengalaman Kehakiman Borneo di Mahkamah Rayuan bagi mendengar kes yang difailkan di Negeri Borneo) dan Pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman," katanya.

Manakala katanya, empat perkara yang masih tidak mencapai keputusan bersama ialah Duti Setem Dikenakan Ke Atas Instrumen Pemindahan, Caj, Menyewakan Tanah di bawah Ordinan Tanah Sabah dan Sarawak.

"Mineral Minyak dan Medan Minyak, Akta Laut Wilayah (Akta750) dan Hak Negeri ke atas Pelantar Benua.

"Ketiga-tiga peguam masih mengekalkan pendirian masing-masing berhubung dengan tiga perkara di atas. Oleh itu, pendekatan terbaik yang dicadangkan adalah untuk PETRONAS.

"Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mencari pendekatan terbaik melalui penyelesaian komersial terlebih dahulu. Forum berasingan yang telah ditubuhkan akan membincangkan mengenai perkara ini.

"Keperluan dokumen perundangan dan keperluan perundangan tambahan akan disediakan setelah mencapai persetujuan terhadap penyelesaian komersial berkenaan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement