Anda di sini

‘Gula-gula pilihan raya’ tidak lagi berkesan

Advertisement
DR RAYONG
DR RAYONG

KUCHING: Pengumuman projek bernilai dari ratusan hingga jutaan ringgit setiap kali menjelang pilihan raya bukan ukuran pengundi menyokong calon atau sesebuah parti politik.

Menyifatkan ia sebagai satu mainan politik serta ‘gula-gula’ pilihan raya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa berkata, apa yang penting ialah rekod dan parti yang diwakili akan menjadi penentu kepada kemenangan seseorang calon.

“Pengundi sekarang semakin bijak... kerajaan semasa tidak boleh menyogok pengundi dengan suntikan dana jutaan ringgit kerana setiap projek pembangunan adalah hak mutlak rakyat dan menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah menyalur sebanyak mungkin pembangunan di kawasan yang difikirkan perlu,” katanya.

Dr Rayong yang juga Ketua Pemuda Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkata demikian sebagai mengulas kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan undi majoriti sebanyak 15,086 mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH).

Katanya, kemenangan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng daripada MCA sudah diramal oleh ramai penganalisis politik namun dengan margin undi yang cukup besar adalah sesuatu yang tidak diduga.

“Walaupun PH berkempen habis-habisan untuk mempertahankan Tanjung Piau dengan menghantar semua ‘giant killer’ serta pengumuman pembangunan yang melimpah ruah namun ia tetap gagal menarik hati pengundi terutama pengundi Cina yang dulu menjauhi BN tapi kali ini memberikan undi mereka kepada BN,” katanya.

Ini tambahnya, membuktikan pengundi masa kini tidak boleh disogokkan dengan ‘gula-gula’ pilihan raya kerana mereka tahu agihan pembangunan adalah tanggungjawab kerajaan memerintah.

Sehubungan itu, beliau mahu tsunami politik seperti yang berlaku di Tanjung Piau akan berlaku di Sarawak menjelang PRN12 yang dijadual pada 2021 kelak.

“Kita dapat merasakan angin perubahan pengundi sudah bertiup kencang dan tinggal diterjemahkan di kotak undi.

“Justeru kita berharap rakyat terutama pengundi muda bijak memilih kerajaan baharu yang adil, telus, akauntabiliti dan tidak menyalah guna kuasa bagi mewujudkan Sarawak yang baharu bersama PSB,” ujarnya.

“Di Tanjung Piai, walaupun PH berkempen habis-habisan namun dengan banyak janji yang tidak ditunaikan, kehidupan rakyat semakin sukar menyebabkan rakyat memprotes dan ia diterjemahkan di kotak undi.

“Jadi kita mahu pengundi Sarawak dapat mempelajari sesuatu daripada pengundi di Tanjung Piai, yakni menukar kerajaan lama dengan baharu untuk sebuah kerajaan yang bersih, adil dan saksama untuk semua kaum,” katanya.

Katanya, kepincangan dalam banyak polisi yang kadang-kadang menindas rakyat harus dihentikan seperti isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), peluang pendidikan, agihan pembangunan yang tidak seimbang, ekonomi dan sebagainya harus diubah semula dan biar adil untuk semua kaum dan DUN terutama di luar bandar.

Advertisement