Anda di sini

England diletakkan di kalangan enam pasukan pilihan teratas di Euro 2020

 Mount (tengah) melepaskan rembatan untuk menjaringkan gol buat England ketika beraksi pada perlawanan menentang Kosovo di Pristina, Kosovo kelmarin. — Gambar AFP
GEGAR JARING: Mount (tengah) melepaskan rembatan untuk menjaringkan gol buat England ketika beraksi pada perlawanan menentang Kosovo di Pristina, Kosovo kelmarin. — Gambar AFP

PRISTINA, Kosovo: Jurulatih  kebangsaan England, Gareth Southgate percaya pasukannya masih mempunyai ruang untuk peningkatan walaupun kemenangan bergaya 4-0 ke atas Kosovo pada perlawanan terakhir kelayakan Euro 2020 Ahad lepas, sekali gus memastikan mereka akan diletakkan di kalangan enam pasukan pilihan teratas di Euro 2020.

England mengesahkan kelayakan mereka minggu lepas apabila membelasah Montenegro 7-0 dan menamatkan kempen kelayakan dengan bergaya dengan gol dari Harry Winks, Harry Kane, Marcus Rashford dan Mason Mount.

Walaupun England tidak bermain di tahap terbaik, ia adalah perlawanan terakhir yang menarik untuk juara Kumpulan A, dengan berada dalam senarai enam pilihan teratas kejohanan akan membantu mengelak berada dalam kumpulan yang sukar di Euro 2020.

Gol sulung Winks dalam penampilan keenam bersama England adalah saat penting sebelum gol dalam separuh masa kedua dari Kane dan Rashford serta gol sulung Mount bersama England.

Dengan kesemua tiga perlawanan kumpulan Euro 2020 dan perlawanan separuh akhir dan final akan berlangsung di tanahair mereka, England akan mengintai hari pengundian kumpulan pasukan sebagai salah sebuah pasukan yang mampu mencabar kejuaraan.

Tetapi ketika beliau gembira dengan permainan menyerang pasukannya, Southgate menegaskan pasukan harus mempertingkatkan lagi bahagian pertahanannya.

“Ia perlawanan sengit dan ujian yang baik untuk kami. Ia adalah padang yang sukar, dengan pemain kerap tergelincir dan hantaran tidak tepat,” kata Southgate.

“Kami memberikan mereka peluang. Jika pasukan yang kuat, ia pastinya menimbulkan masalah. Paling penting ialah ketika situasi tendangan bola mati. Ada terlalu ramai pemain lawan yang tidak dikawal dalam kotak penalti.

“Kami tahu masih ada banyak yang perlu dilakukan tetapi saya tidak dapat mencari kesalahan pemain musim ini, mereka cukup hebat dan kami keletihan lebih serasi dalam kumpulan sekarang.”

Berbeza dengan cemuhan perkauman yang mencemari perlawanan di Montenegro dan Bulgaria, penghargaan masih dirasai di Kosovo di atas sumbangan Britain dalam perang Kosovo pada 1990an.

Sorakan terkuat diberikan kepada Raheem Sterling, yang kembali dalam kesebelasan utama England selepas digugurkan ketika menentang Montenegro ekoran pergaduhan dengan rakan sepasukan, Joe Gomez di kantin pusat latihan Isnin lepas.

Southgate percaya kontroversi dari pergaduhan itu telah merapatkan lagi skuad.

“Saya fikir anda harus menangani sebarang masalah yang anda ada dan seluruh kumpulan telah menanganinya dengan sangat baik. Secara jujurnya kami lebih kuat dari ketika memulakan kumpulan ini,” kata beliau. — AFP