Anda di sini

DBKU tanam pokok bunga, buah di Medan Niaga Satok

Advertisement
 Junaidi (kanan) menanam pokok manggis, sambil disaksikan Abdul Jaafar (tiga kiri) dan yang lain. — Gambar Muhamad Rais Sanusi
HIJAU: Junaidi (kanan) menanam pokok manggis, sambil disaksikan Abdul Jaafar (tiga kiri) dan yang lain. — Gambar Muhamad Rais Sanusi

KUCHING: Dalam usaha mencantikkan bandar raya ini, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah menanam pokok bunga dan buah di sekitar Medan Niaga Satok di sini.

Datuk Bandar DBKU Datu Junaidi Reduan berkata ia dijalankan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak.

“Terdapat lima elemen asas iaitu kebersihan, kecantikan, keselamatan, perancangan dan pengurusan trafik.

“Sebelum ini kita telah menjalankan kerja pembersihan dan sekarang kita menambahkan usaha untuk mencantikkan tempat berkenaan dengan menanam pokok bunga dan buah,” katanya ketika ditemui semalam.

Selain Medan Niaga Satok, usaha yang sama akan turut dijalankan di Sukma Ria.

Penyewa tetap E-mart di kawasan itu telah bersetuju membersih dan mencantikkan kawasan itu.

Bagaimanapun, penjaja makanan di bahagian tingkat atas bangunan Sukma Ria tidak lagi menjalankan perniagaan seperti dahulu.

“Pihak kami bagaimanapun telah bertemu dengan beberapa penjaja yang telah menunjukkan minat dan akan mengisi kekosongan tempat tersebut dalam tempoh beberapa bulan lagi,” ujarnya.

Sementara itu, FAMA Sarawak berkata kerja pembersihan dan penanaman pokok di Medan Niaga Satok adalah penting sebagai pendedahan kepada para penjaja dalam menjaga kebersihan dan kecantikan agar kawasan para penjaja sentiasa kelihatan ceria.

Turut hadir Timbalan Pengarah Operasi FAMA Pusat Abdul Jaafar Lian.

Advertisement