Anda di sini

Cheng Hoe idam benam Indonesia

Advertisement
 Shahrul Saad (dua kanan) bersalaman bersama pemain Indonesia Yanto Basna ketika sidang media menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. Turut sama Cheng Hoe (kanan) dan jurulatih sementara skuad bola sepak Indonesia Yeyen Tumena. — Gambar Bernama
SEDIA BERAKSI: Shahrul Saad (dua kanan) bersalaman bersama pemain Indonesia Yanto Basna ketika sidang media menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. Turut sama Cheng Hoe (kanan) dan jurulatih sementara skuad bola sepak Indonesia Yeyen Tumena. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Rentetan kejayaan yang dilakar skuad Harimau Malaya dalam beberapa perlawanan sebelum ini, jelas menaikkan semangat pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang memburu keputusan positif ke atas Indonesia pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Pengendali berusia 51 tahun itu mengakui kemenangan ke atas skuad Garuda bakal menjadi penamat paling bermakna untuk dirinya pada musim ini, namun tetap berwaspada dengan ancaman yang bakal ditampilkan pasukan lawan susulan empat kekalahan berturut-turut dialami pada kempen kelayakan pada kali ini.

“Perlawanan esok (malam ini) merupakan perlawanan terakhir kami pada tahun ini, dan kami mahu mendapatkan keputusan positif.Walaupun pernah menewaskan Indonesia, 3-2 pada aksi sebelum ini (di tempat lawan), perlawanan malam esok adalah berbeza kerana Indonesia dibarisi beberapa muka baharu serta pengendali baharu,” katanya pada sidang media pra-perlawanan berkenaan di sini semalam.

Sebagai rekod, Malaysia mengejutkan pasukan ranking ke-116 dunia, Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan pada 9 Nov lalu, sebelum menumbangkan Thailand 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, selang lima hari kemudian.

Dalam pada itu, Cheng Hoe menyifatkan kebanjiran penyokong tempatan dijangka memenuhi venue berkenaan malam ini bakal memberi tonik tambahan kepada barisan pemain menampilkan aksi terbaik di tempat sendiri setelah menumpaskan Thailand pada pusingan kelayakan di venue yang sama.

Ketika ditanya mengenai ketiadaan dua pemain tonggak iaitu penyerang, Muhammad Syafiq Ahmad dan pertahanan kanan, Matthew Davies yang terlepas aksi berdepan Thailand, Cheng Hoe yakin barisan pemain sedia ada mampu menggalas tugas yang bakal dipikul mereka.

Muhammad Syafiq dan Matthew digantung satu perlawanan susulan dua kad kuning yang dikutip pada dua aksi pusingan kelayakan menentang Vietnam dan Thailand, sebelum ini.

Berkongsi pandangan sama adalah pertahanan tengah skuad kebangsaan, Shahrul Mohd Saad mendedahkan rakan sepasukan di benteng pertahanan sudah mula mendapat keserasian pada aksi berdepan Thailand dan yakin keserasian berkenaan mampu dijelmakan sekali lagi apabila mereka turun berdepan Indonesia, malam ini.

“Walaupun kita berjaya mendapatkan gol dalam beberapa perlawanan sebelum ini, namun apa yang saya maklumkan kepada rakan sepasukan untuk elakkan (gawang) pasukan kita daripada dibolosi. Saya harap pada perlawanan esok, bukan sahaja barisan pertahanan, tetapi semua pemain supaya lebih fokus,”jelas kapten pasukan Perak itu.

Malaysia kini menduduki tangga keempat Kumpulan G dengan kutipan enam mata, manakala Indonesia gagal meraih sebarang mata selepas empat perlawanan.

Sementara itu, Ketiadaan penyerang utama, Muhammad Syafiq Ahmad akibat penggantungan satu perlawanan sedia digalas seorang lagi penggempur kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha apabila skuad negara berhadapan Indonesia malam ini.

Penyerang Pahang itu lebih mesra dengan panggilan ‘Mat Yo’, mendedahkan beliau sedia mempamerkan sentuhan pemusnahnya pada perlawanan berkenaan, dalam mencerahkan peluang Malaysia meraih tiket automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China.

Muhammad Syafiq sah terlepas aksi menentang Indonesia setelah mengutip dua kad kuning pada aksi pusingan kelayakan, menentang Vietnam dan Thailand, sebelum ini.

“Untuk saya, moral pasukan agak baik selepas kita menewaskan Tajikistan (pada aksi persahabatan) dan Thailand (pada pusingan kelayakan), cuma pemain tidak harus terlalu yakin untuk perlawanan malam ini.

“Indonesia merupakan salah satu pasukan yang agak kuat, dan kita perlu berjaga-jaga, dan sekiranya kita memberi tumpuan penuh sepanjang perlawanan esok (malam ini), Insya-Allah kita akan berjaya,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan, di venue berkenaan semalam.

Mengulas lanjut, pemain kelahiran Besut, Terengganu itu menegaskan, sikap terlalu yakin untuk menewaskan Indonesia harus diketepikan, kerana pasukan lawan dijangka bertekad membalas dendam di atas kekalahan mengejut 2-3 kepada skuad kebangsaan pada aksi pembukaan pusingan kelayakan di Jakarta, pada 5 Sept lalu. — Bernama

Advertisement