Anda di sini

Atlet papan selaju Sarawak intai dua emas Sukan SEA 2019

Advertisement
Mohd Nur Firdaus (dua kiri) menerima bendera Malaysia dan Sarawak daripada Fazzrudin (dua kanan). Turut (dari kiri) Clifton, Farouk,  Eshady dan  Hazizulkarnaen di YK9 di sini, hari ini.
Mohd Nur Firdaus (dua kiri) menerima bendera Malaysia dan Sarawak daripada Fazzrudin (dua kanan). Turut (dari kiri) Clifton, Farouk,  Eshady dan  Hazizulkarnaen di YK9 di sini, hari ini.

KUCHING: Mohd Nur Firdaus Marzuki, 24 tahun bakal menyarungkan jersi Malaysia dalam acara papan selaju  Sukan Asia Tenggara (SEA) 2019.

Mohd Nur Firdaus yang berasal dari Bintulu merupakan atlet di bawah naungan Persatuan Sukan Papan Selaju Sarawak (SKA).

Beliau kini sibuk menjalani latihan mengakui sedikit gemuruh untuk beraksi dalam dua kategori iaitu 'Street' dan 'Game of Skate' di arena sukan SEA 2019 yang akan berlangsung di Filipina pada 30 November hingga 11 Disember.

"Saya kini sibuk menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi persaingan dalam dua kategori akan saya sertai.

"Memang sedikit gemuruh tetapi saya akan berusaha untuk mencapai impian membawa pulang dua pingat emas untuk Malaysia," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman yang merupakan Penaung Kehormat SKA, Pengerusi SKA, Mohamad Farouk Mohammad Tufail, Setiausaha Agung SKA, Hazizulkarnaen Hassan dan timbalannya, Clifton Dile.

Fazzruddin dalam pada itu yakin Firdaus dapat mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia dengan membawa pulang pingat kemenangan.

"SKA dengan konsisten sejak 2016 telah mengadakan pelbagai pertandingan dan menjadi platform untuk golongan belia yang meminati sukan ini di seluruh negeri.

"Pada masa yang sama mencari bakat dan potensi atlet masa depan dalam sukan papan selaju negara," katanya.

Fazzrudin berkata kejayaan Mohd Nur beraksi di pentas antarabangsa sudah tentu menjadikannya  idola kepada belia muda yang lainnya khususnya di Sarawak.

Menurutnya sebagai seorang atlet segala penat, disiplin dan usaha akan terbayar ketika berdiri di atas podium kemenangan dan mendengar lagu negeri atau negara dimainkan.

"Perasaan itu kan menjadi dorongan dan penyuntik semangat untuk membimbing atlet melangkah lebih jauh lagi dalam sukan diceburi," katanya.

Menyentuh mengenai kekurangan kemudahan bagi sukan itu di negeri ini beliau berkata akan berusaha membantu SKA memiliki sebuah tempat latihan yang bersesuaian.

Sementara itu, wakil Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Eshady Ahmad berharap SKA akan meneruskan usaha mencari golongan pelapis bagi sukan terbabit dalam usaha kerajaan negeri menjadikan Sarawak sebagai kuasa sukan negara.

Beliau yakin Mohd Nur Firdaus akan mengantikan legenda pemain papan selaju Malaysia, Ahmad Fadzil Musa atau lebih dikenali sebagai Pa'din Musa dari Pulau Pinang suatu ketika dahulu.


 

  • oleh
  • Advertisement