Anda di sini

Tumpas pemburu haram, PGA Sarawak lancar Opp Bersepadu Khazanah

Advertisement
Mastor menyemat lencana pada salah seorang anggota Tiger Platoon Briged Sarawak PGA yang menamatkan kursus asas hari ini. Gambar Chimon Upon
Mastor menyemat lencana pada salah seorang anggota Tiger Platoon Briged Sarawak PGA yang menamatkan kursus asas hari ini. Gambar Chimon Upon

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak akan melancarkan Operasi Bersepadu Khazanah bagi memburu pemburu haram flora dan fauna di negeri ini. 

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PGA PRDM,  Datuk Mastor Mohd Ariff berkata operasi ini telah dilancarkan di Semenanjung Malaysia, September lalu. 

"Kita percaya sekarang ini ramai pemburu haram dalam negara yang menjadikan sumber khazanah ini sebagai sumber pendapatan mereka tanpa menghiraukan kemusnahan yang diwujudkan oleh mereka. 

"Jadi unit elit 'Tiger Platoon' PGA akan digemblengkan ke seluruh Sarawak untuk memburu pemburu haram ini," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian penutupan Kursus Asas CIW dan CQB Tiger Platoon Briged Sarawak PGA Tahun 2019 di Dataran Kawad Briged Sarawak PGA Batu Kawa di sini hari ini. 

Dalam perkembangan berkaitan, Mastor berkata perjawatan bagi penempak tepat  Tiger Platoon telah diluluskan di setiap stesen. 

Dengan kelulusan ini katanya, setiap stesen akan diperuntukkan dua laras senapang sniper dan perolehannya akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) nanti termasuk peralatan serta kenderaan lain. 

Berhubung keanggotaan PGA pula, Mastor berkata tiada penambahan keanggotaan akan dibuat meskipun tanggungjawab PGA diperluaskan. 

Keanggotaan sedia ada PGA katanya  mencukupi untuk mengekang sebarang kegiatan atau insiden yang menggugat ketenteraman. 

Terdahulu Mastor menyampaikan sijil tamat kursus dan penyematan lencana Tiger Platoon kepada tiga pegawai dan 60 pelatih asas yang menamatkan latihan. 

Kesemua pegawai dan pelatih menjalani kursus selama tiga bulan iaitu taktik dan teknik peperangan khas hutan (CIW) dan tempur jarak dekat (CQB). 

Pasukan Tiger Platoon merupakan pasukan bertindak pertama (First Responder) apabila berlaku sebarang insiden ketenteraman di Sarawak dan pasukan 'stand by' kedua jika berlaku ketegangan di Sabah.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Komander Briged PGA Sarawak, Dato Khaw Kok Chin serta pegawai-pegawai yang lain. 

  • oleh
  • Advertisement