Anda di sini

‘The Crown’ kembali dengan barisan pelakon baharu dalam Musim 3

Advertisement
HELENA BONHAM CARTER
HELENA BONHAM CARTER

PEMINAT televisyen mengalu-alukan seorang permaisuri baharu apabila Olivia Colman dan bintang lain dari drama diraja ‘The Crown’ hadir untuk tayangan perdana dunia bagi musim ketiga siri Netflix itu baru-baru ini.

Colman, yang memenangi anugerah Oscar pada awal tahun ini bagi wataknya sebagai kerabat diraja lain dalam komedi gelap ‘The Favourite’, berlakon sebagai Ratu Elizabeth dalam penceritaan semula tentang kehidupan permaisuri Britain yang masih memegang kuasa itu.

Colman menggantikan tempat Claire Foy, yang memenangi anugerah Golden Globe bagi wataknya sebagai versi Elizabeth yang lebih muda.

Musim ketiga siri itu, yang ditayangkan di Netflix pada Ahad, menyambung cerita pada pertengahan zaman 1960an hingga tahun 1977, ketika pewaris takhta Putera Charles (Josh O’Connor) mencapai kematangan dan Britain menjalani revolusi budaya pop yang diterajui The Beatles dan The Rolling Stones.

Pencipta Peter Morgan telah menyatakan siri itu, dengan dua musim pertama yang memakan belanja kira-kira AS$130 juta untuk dibuat, adalah berdasarkan fakta yang diketahui dan perbualan peribadi yang dibayangkan.

Helena Bonham Carter, yang membawa watak adinda Elizabeth, Puteri Margaret, berkata dia seronok sekali membawa watak puteri itu.

“Perkara paling sukar tentang watak Margaret atau sesiapa sahaja dalam kerabat itu ialah pada akhirnya begitu ramai orang merasakan mereka mengenali baginda. Dan semua orang ada pendapat,” kata Bonham Carter kepada Reuters Television di atas permaidani merah.

“Terdapat begitu ramai rakan amat rapat yang gembira sekali untuk bercakap mengenainya dan mahu dan amat menyayangi baginda dan juga mahu menunjukkan sisi yang tidak begitu diketahui tentang baginda – bahawa baginda lucu, bahawa dia amat mesra dan baginda sangat berwarna-warni,” kata aktres itu.

Erin Doherty, yang membawa watak puteri kedua, Puteri Anne, berkata bekerja dalam siri itu telah membuatnya lebih bersimpati dengan kerabat diraja.

“Selepas membuat siri ini, saya rasa seperti saya jauh lebih memahami mereka dan saya amat menghargai mereka dan saya begitu berempati dengan mereka,” kata Doherty.

Ditanya sama ada dia rasa kerabat diraja menonton siri itu ataupun tidak, Tobias Menzies, yang membawa watak suami ratu, Putera Philip, pada usia pertengahan, berkata dia meraguinya.

“Ia membuatkan saya rasa sedikit gelisah untuk membayangkan mereka menontonnya. Saya pasti takjub jika mereka menontonnya, tetapi mungkin mereka menontonnya. Taruhan saya ialah mereka mungkin tidak,” katanya. — Reuters

Advertisement